Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo antara calon Ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Pengendali dari Korea Selatan berusia 66 tahun itu kini berada dalam radar FAM bagi menggantikan tempat Kim Pan Gon yang telah letak jawatan pada bulan lepas.

Baca Juga:

“Park Hang Seo? Ya, beliau adalah salah satu calon kita,” kata Hamidin kepada pihak media.

Pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dianggap sebagai perancangan jangka masa pendek oleh FAM.

Prestasi beliau akan dinilai oleh FAM melalui dua kejohanan terdekat iaitu Pestabola Merdeka 2024, September depan serta kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 hujung tahun ini.

“Kita beri peluang kepada Pau Marti sehingga Disember ini tetapi dalam masa sama saya sudah menilai beberapa calon baharu.

“Saya akan cari jurulatih yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon. Itu janji saya kepada peminat.

“Saya pun kenang jasa dia (Kim Pan Gon), FAM pun berlembut hati juga. Kalau ikutkan dari segi profesional dia, kita boleh minta pampasan untuk satu setengah tahun,” katanya.

Sebelum ini, laporan daripada media vietnam, Bongdaplus mendakwa Park Hang Seo merupakan calon utama yang paling sesuai melatih skuad Malaysia.

Park Hang Seo kini merupakan penasihat kelab Bac Ninh FC di Vietnam dan dilaporkan turut diburu oleh satu lagi pasukan kebangsaan dari Asia Tenggara iaitu Kemboja.

Reputasi beliau bersama Vietnam cukup hebat kerana pernah membantu negara itu memenangi pelbagai kejuaraan dan meningkatkan kedudukan ranking FIFA sehingga berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.