Ustaz Kazim Elias, seorang penceramah bebas, yang sebelum ini diumumkan antara wakil calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini bagi Parlimen Larut telah mengejutkan orang ramai apabila membuat keputusan untuk menarik diri. Keputusan ini dibuat tidak sampai 24 jam selepas beliau diumumkan sebagai antara calon yang bakal menghadapi PRU15 di bawah bendera Barisan Nasional.
Keputusan meletakkan Ustaz Kazim sebagai calon itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Putra di sini malam tadi. Kerusi tersebut sebelum ini kerusi disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin. Hamzah menang di Parlimen Larut pada PRU14 atas tiket BN, namun kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Baca Juga:
- Tutup Muka Guna Kain Ketika Ceramah ‘Live’, Penampilan Terbaru Ustaz Kazim Raih Simpati Netizen
- Menderita Terkena Sihir, Ustaz Kazim Dedah Enam Individu Sudah Bersemuka Dan Meminta Maaf
- Pawang Dakwa Dapat Lihat Dan Lukis Individu Sihir Ustaz Kazim Undang Perdebatan Netizen
Menurut laporan Berita Harian, Ustaz Kazim tidak menyebut alasan mengapa beliau memilih untuk menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU15 akan datang. Namun berita ini telah disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Tempat Ustaz Kazim kini bakal digantikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
Melihat kepada situasi semasa, selepas nama Ustaz Kazim diumumkan menjadi calon BN semalam, pelbagai kecaman dan pandangan yang dilontarkan oleh netizen di sosial media. Sebahagian daripada mereka menerima dengan tangan terbuka apabila Ustaz Kazim dinamakan sebagai calon BN. Bagaimanapun, sebahagiannya lagi mengecam dan mempersenda Ustaz Kazim, sehingga ada yang menggunakan kesakitan yang dialami oleh beliau sebelum ini sebagai modal politik untuk mengecam Ustaz Kazim.
Tahukah anda handal tak handal bomoh Bagan Datok. Kawan dari takleh berdiri, takleh kena cahaya matahari, auto sihat lepas jumpa Wak Jahid.
Steady! 🤣 pic.twitter.com/w0kNL2OCLd
— Fakta Bukan Auta (@FaktaBukanAuta) November 1, 2022
Ustaz Kazim dah sihat ke? Macam mana nak berkempen kalau sakit?
— Fadhil (@FadQuadra) November 1, 2022
Dulu selalu claim sakit kena sihir lah, badan kudis sebab sihir, telinga berair lah dan macam-macam lah sakit Ustaz Selebriti ni sorang.
Bila dilantik jadi calon, hilang habis semua penyakit sebelum ni. Jadi Ustaz pun dh suka menipu, ni kan pula jd politikus.
— Zac (@ZacZakirin13) November 1, 2022
Ustaz Kazim tu dulu bukan terpaling disihir tak boleh kena matahari segala.
Tibajah tegak berdiri boleh jadi calon.
— Dahliaism (@kakdahlia) November 2, 2022
Dalam satu hantaran terbaharu Ustaz Kazim di Facebook, beliau mendoakan agar segala kutukan yang diterima olehnya sejak diumumkan sebagai calon BN di Parlimen Larut bertukar menjadi pahala. “Alhamdulillah. Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,” katanya.
Untuk rekod, nama Ustaz Kazim dipilih menjadi calon BN bagi PRU15 kali ini adalah berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut. Namun dengan keputusan mengejut ini, persoalan yang ditanya; adakah BN mampu untuk merebut kerusi Larut? Calon yang diletakkan oleh BN mungkin muda dan masih baharu, tetapi di dalam politik, apa sahaja boleh berlaku.