Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan tetap enggan membayar tunggakan gaji Kylian Mbappe meskipun telah diperintahkan untuk membuat pembayaran kepada bekas pemainnya itu.
Difahamkan, kelab gergasi Perancis itu masih berhutang sebanyak £46 juta dan mahu membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.
Semalam, PSG telah diperintahkan untuk membayar Mbappe dengan jumlah tersebut ekoran tunggakan gaji yang belum dibayar selepas Jawatankuasa Rayuan Liga Perancis memutuskan menolak permohonan kelab ibu kota tersebut.
Bagaimanapun menurut sumber laporan Goal, jurucakap PSG mendedahkan bahawa mereka bercadang untuk mencabar keputusan itu melalui mahkamah, setelah sebelum ini menegaskan bahawa mereka tidak berhutang apa-apa dengan bekas ayam tambatan mereka itu.
“Setelah jawatankuasa rayuan mengesahkan pendapat jawatankuasa undang-undang, PSG telah memutuskan untuk membawa kes ini ke mahkamah yang sesuai, sambil terus berusaha mencari penyelesaian secara baik dengan pemain tersebut.”
“Dalam undang-undang dan fakta sebenarnya, pemain itu telah membuat komitmen secara terbuka dan peribadi yang jelas dan berulang kali bahawa kelab hanya memintanya untuk menghormati dan mematuhinya memandangkan kelebihan luar biasa yang telah dinikmatinya dari kelab selama 7 tahun di Paris.
“Kelab berharap bahawa kata-katanya akan dihormati, dengan mengetahui bahawa jika pemain malangnya memutuskan untuk meneruskan pertikaian ini, kelab akan terpaksa membawanya ke mahkamah yang kompeten dan mendapatkan pengiktirafan terhadap kerugian yang telah dan terus dialami akibat kedudukan yang tidak dapat difahami oleh bekas pemainnya.”
“Ini adalah soal niat baik, kejujuran, menegakkan nilai-nilai dan menghormati institusi Paris serta penyokongnya.”