Sebuah akhbar Israel mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman telah meminta Amerika Syarikat untuk mendapatkan senjata canggih, termasuk jet pejuang siluman F-35, sebagai salah satu syarat untuk menjalinkan hubungan dengan Israel.

Memetik tiga sumber Israel, ia mendakwa Putera Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu difahamkan telah berhubung secara langsung.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Bin Salman telah menetapkan syarat termasuk memuktamadkan hubungan dengan pentadbiran [Joe] Biden dalam isu seperti menarik balik larangan penjualan senjata canggih, terutamanya jet pejuang F-35, ke Arab Saudi,” kata laporan itu, yang diterbitkan 23 Disember.

Untuk pengetahuan anda, Israel telah menjadi salah satu negara yang menentang usaha AS menghantar jet pejuang F-35 ke Arab Saudi dan negara Timur Tengah yang lain.

Jet pejuang siluman buatan Lockheed Martin pernah memainkan peranan penting apabila Perjanjian Abraham ditandatangani pada September 2020, di mana AS berjanji untuk menjual 50 jet pejuang ini kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kerajaan Israel dan Arab Saudi  masih belum mengulas mengenai laporan ini, walaupun sebelum ini Arab Saudi telah menegaskan bahawa normalisasi tidak akan berlaku sehingga isu Palestin diselesaikan.

Laporan itu turut menyebut bahawa Netanyahu tidak akan membuat apa-apa perjanjian bagi menyelesaikan konflik Palestin – Israel, tetapi dia bersedia untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti ketenteraan di Tebing Barat sepanjang penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri.