Rakan sepasukan Faisal Halim merindui kelibat pemain itu ketika sesi latihan selepas beliau terpaksa melupakan bola sepak buat sementara waktu selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada minggu lalu.
Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Perubatan Sukan Selangor, Dr Muhammad Hazwan Khair dimana beliau turut menyatakan pasukan perubatan sentiasa memantau keadaan semasa mental dan fizikal pemain lain selepas kejadian yang menimpa Faisal.
Baca Juga:
- Faisal Halim Teruja Untuk Jalani Proses Fisioterapi
- Kem Manchester United Berikan Sokongan Kepada Faisal Halim
- Kim Pan-gon Beri Sokongan Terhadap Faisal Halim
“Pasukan perubatan sentiasa memantau keadaan pemain terutama berkaitan dengan emosi mereka dan ketika ini keadaan di dalam kem Selangor semakin pulih.
“Kita semua tahu Faisal seorang yang ceria, jadi apabila dia tidak hadir ke kem latihan pasukan, suasana menjadi agak sunyi dan berbeza,” katanya menurut laporan NST.
Selepas lebih seminggu sejak menjadi mangsa kes disimbah asid dan menerima rawatan intensif dari pakar perubatan, Faisal berasa teruja untuk menjalani proses fisioterapi dalam usaha proses pemulihan beliau.
Perkara ini dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dimana doktor mengatakan keadaan Faisal semakin membaik berbanding sebelum ini.
“Doktor beritahu kami tahap kesihatan Faisal semakin membaik kerana beliau berada dalam keadaan yang cergas. Dia teruja untuk menjalani proses fisioterapi. Dia sangat bersemangat untuk menjalani fisio.
“Selepas bercakap dengan pakar bedah yang mengendalikan Faisal, kita tahu beliau dijaga dengan baik. Institut Sukan Negara (ISN) juga bekerjasama bagi memastikan proses selepas pembedahan seperti fisio dan pemulihan dijalankan dengan baik.
“Bila Faisal akan kembali, itu kita tidak tahu. Tetapi doktor memberitahu beliau sangat positif tentang dirinya,” katanya.
Selepas menjalani pembedahan ketiga, keadaan Faisal Halim semakin baik dimana beliau sudah boleh berjalan dan lebih ceria berbanding sebelum ini.
“Dia pun dah boleh pergi bilik air dengan sendiri dan bagi saya, ini sememangnya satu perkembangan yang positif untuk hari ini.
“Cuma apabila dia dah mula nak berjalan dan betul-betul bersemangat, itu sangat membanggakan. Mickey sentiasa jadi Mickey cuma pergerakannya agak terbatas dengan balutan di badannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC iaitu Datuk Seri Shahril Mokhtar.