Posisi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya dilaporkan menjadi rebutan dimana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima banyak permohonan untuk jawatan itu.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, ramai yang mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kim Pan-gon selepas melihat skuad negara yang mempunyai potensi untuk pergi jauh.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Ucap Selamat Hari Merdeka Kepada Malaysia
- Ketiadaan Dion Cools Tidak Gusarkan Pau Marti
- Hamidin Sifatkan Kim Pan-gon Seperti Orang Gila Talak
”Banyak sebenarnya yang berminat untuk menjadi jurulatih Malaysia kerana mereka melihat Malaysia mampu bersaing di peringkat (lebih tinggi),” katanya kepada portal Harimau Malaya.
”Jadi banyak jurulatih-jurulatih yang berminat tetapi akhirnya kita akan pilih yang sesuai dengan kita, contoh jurulatih yang faham dengan budaya kita seperti sebelum ini,” tambahnya.
Menurut Datuk Yusoff, calon yang berminat untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas ini datang dari luar negara.
Selepas berpisah dengan Kim Pan-gon, Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan negara dan baru-baru ini beliau membantu Malaysia memenangi kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Sebelum ini, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo dikaitkan dengan posisi ketua jurulatih Malaysia namun tiada perkembangan lanjut mengenai perkara itu.
Menurut laporan VNE Express, salah seorang wakil kepada Hang-seo iaitu Lee Dong-jun menafikan dakwaan yang jurulatih itu menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Kim Pan-gon.
“Tidak benar sama sekali dakwaan bahawa jurulatih Park memohon jawatan untuk mengetuai pasukan kebangsaan Malaysia.
“Kenyataan sedemikian menjejaskan reputasi jurulatih Park. Sebagai wakil kepada ramai jurulatih dan pemain, saya telah mengadakan perbualan dengan presiden persatuan bola sepak di seluruh dunia, termasuk Datuk Hamidin Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia.
“Bagaimanapun, perbincangan kami merangkumi pelbagai topik , dan kami tidak pernah berbincang untuk memohon jawatan ketua jurulatih di Malaysia,” katanya.