Aksi Pestabola Merdeka 2024 bakal buka tirainya pada hari rabu ini namun jualan tiket perlawanan tersebut dilaporkan tidak begitu memuaskan.

Menurut laporan Berita Harian, jualan tiket bagi aksi Harimau Malaya menentang Filipina dikatakan tidak sampai 1,000 keping yang dapat dijual.

Baca Juga:

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Posa Majais.

“Jika diikutkan sememangnya jualan tiket tidak sampai 1,000 keping sehingga semalam. FAM sudah melakukan pelbagai cara untuk mempromosikan jualan tiket supaya penyokong hadir ke stadium.

“Skuad Harimau Malaya memerlukan sokongan pemain ke-12. Sokongan anda cukup penting dalam memastikan pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif.

“Pemain berjuang demi negara dan janganlah biarkan mereka keseorangan di atas padang tanpa sorakan penyokong,” kata Posa.

Posa juga tidak menolak faktor itu berpunca daripada tindakan penyokong mengambil keputusan  memboikot kejohanan tersebut yang berlangsung pada 4 hingga 8 September ini.

Baru-baru ini, Ultras Malaya mengumumkan mereka memboikot Pestabola Merdeka. Difahamkan mereka tidak berpuas hati dengan situasi semasa bola sepak negara baik di peringkat kelab mahupun negara.

Kejohanan edisi kali ini akan disertai oleh empat pasukan iaitu Malaysia, Filipina, Lebanon dan juara bertahan iaitu Tajikistan.

Malaysia akan bertemu Filipina pada 4 September manakala satu lagi perlawanan akan melibatkan Lebanon bertemu Tajikistan.

Pemenang akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 8 September . Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.