Jodoh Shin Tae-yong dan skuad kebangsaan Indonesia sejak 28 Disember 2019 secara rasminya menemui penghujung.
Hal ini kerana Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) baharu sahaja mengumumkan kontrak pengendali kelahiran Korea Selatan itu sudah pun berakhir.
Walaupun kempen Indonesia dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dilihat berada di landasan tepat dimana mereka kini berada di tangga ketiga dengan enam mata, ia masih belum cukup untuk melihat Tae-yong terus kekal membimbing pasukan.
Tambahan pula skuad muda Indonesia gagal melepasi peringkat kumpulan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta evaluasi yang dilakukan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia dan Badan Tim Nasional secara menyeluruh terhadap persembahan pasuka dan tujuan jangka masa panjang yang ingin dicapai oleh pasukan bola sepak Indonesia.”
“PSSI berterima kasih dan menghargai semua sumbangan yang telah diberikan bagi pembangunan Tim Nasional Sepakbola Indonesia.”
“PSSI berharap yang terbaik bagi Shin Tae-yong untuk ke masa hadapan,” ujar PSSI dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang badan induk bola sepak Indonesia itu.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Shin Tae-yong telah menandatangani kontrak lanjutan bersama PSSI dimana beliau akan terus membimbing skuad kebangsaan negara itu sehingga tahun 2027.
Namun dengan keputusan drastik diambil PSSI itu, Tae-yong terpaksa mengucapkan selamat tinggal dengan lebih awal dimana nama besar dikatakan bakal menggantikan kekosongan tersebut.