Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan lembam.

Pertuduhan ke atas remaja tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan. Dan menurut laporan Harian Metro, tidak ada pengakuan yang direkodkan, kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Sementara itu, tertuduh turut tidak diwakili oleh peguam.

Menurut pertuduhan, yang tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian kanak kanak bernama Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan paya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah. Kejadian berlaku pada 16 Ogos lalu sekitar 2.30 petang hingga 5 petang.

Mayat Humaira ditemui sehari selepas kejadian tersebut selepas dilaporkan hilang. Dan hasil bedah siasat mendapati bahawa mangsa mungkin telah diperkosa kerana ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Seterusnya terdapat juga kesan tekanan di bahagian leher mangsa, menurut laporan itu lagi. Ianya membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki pada 25 Ogos yang menjadi suspek kepada kes tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Oleh kerana tertuduh masih pada usia kanak kanak, maka tertuduh harus dipenjara selama mana yang diperkenan mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut laporan oleh Harian Metro, mahkamah telah menetapkan 28 Oktober depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, patologi, asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan prestasi pelajar.

Sumber