Sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar terkenal dalam negara harus membayar berjumlah ratusan ribuan ringgit ekoran menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.

Menurut laporan Astro Awani, dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar RM221,773.20 kepada Measat Broadcast Systems Sdn Bhd — iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.

Baca Juga:

Thaqwa hanya mempunyai langganan sah untuk dua premis sahaja, namun begitu ia telah menyiarkan siaran Astro di lapan lagi restoran miliknya tanpa kebenaran dengan menggunakan peranti-peranti seperti kad pintar dan dekoder Astro bagi tujuan tersebut.

Selain daripada pembayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro.

Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata: “Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif.

“Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil.

“Usaha ini penting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baharu,” katanya.

Di Malaysia, adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana premis komersial untuk menayangkan penyiaran kepada orang awam jika pengisian tersebut diambil secara tidak sah. Ini termasuklah penyiaran rancangan Astro tanpa lesen komersial yang sahih.

Kes yang melibatkan salah satu rantaian restoran nasi kandar ini adalah salah satu daripada kebanyakan kes yang sedang dikendalikan oleh Astro bagi melindungi hak harta intelek miliknya.

Sebelum ini, di Ipoh, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 pada Februari lalu selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram. Peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada bulan Oktober 2023.