Ribuan pelarian Rohingya bertindak ganas pada Isnin lalu ketika pegawai kanan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjungi salah sebuah penempatan di Bangladesh yang menjadi tempat tinggal kira-kira lebih 18,000 pelarian, lapor Channel News Asia.
Difahamkan terjadi rusuhan besar-besaran daripada etnik Rohingya dan pihak polis ketika wakil pegawai tinggi dari UNHCR dan agenci pelarian PBB mengunjungi Pulau Bhashan Char yang menjadi penempatan penduduk Rohingya.
Polis dalam kenyataannya memberitahu bahawa terdapat 4,000 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan disebabkan tidak berpuas hati dengan kualiti hidup dan tidak mahu tinggal di kem pelarian yang disediakan oleh kerajaan Bangladesh yang sesak seperti kawasan setinggan.
Mahe Alam, seorang pegawai polis yang bertugas di balai polis Bhashan Char memberitahu pemberita bahawa kaum Rohingya telah bertindak menghancurkan kemudahan awam, merosakkan pejabat kerajaan, motosikal dan beberapa deretan kedai.
Menurut Md Alamgir Hossain, ketua polis di daerah Noakhali, sekumpulan pelarian Rohingya cuba menyerang pegawai dari UNHCR ketika helikopter yang membawa mereka dan pegawai kerajaan mendarat sekitar jam 10 pagi.
Tambah beliau lagi, polis terpaksa campur tangan apabila sebahagian pelarian Rohingya bertindak ganas dengan membaling batu sehingga menyebabkan kecederaan kepada empat pegawai polis yang bertugas.
Dua pegawai UNHCR, Asisten Komisioner Tinggi untuk Operasi Raouf Mazou dan Asisten Komisioner Tinggi untuk Perlindungan Gillian Triggs, mengunjungi pulau itu setelah tiba di Dhaka pada hari Ahad untuk lawatan empat hari ke Bangladesh. Mereka adalah pegawai paling kanan dari agensi PBB yang berpusat di Geneva dan ditugaskan untuk mengunjungi Bhashan Char – penempatan pelarian Rohingya.
Semasa lawatan terbabit, wakil UNHCR bertemu dengan sekelompok penunjuk perasaan dan mendengar pelbagai isu yang diutarakan oleh pelarian Rohingya, yang akan dibahaskan lebih lanjut oleh wakil dan pihak kerajaan Bangladesh.
Sejak Disember yang lalu, pihak berkuasa Bangladesh telah memindahkan sejumlah besar pelarian ke Bhashan Char dari Cox’s Bazar, dengan mendakwa bahawa pelarian Rohingya secara sukarela mahu berpindah dan tindakan ini juga bertujuan untuk meredakan kesesakan serta mengurangkan jenayah di beberapa kem sebelum ini.
Pada bulan Mac lalu, wakil UNHCR hadir untuk mengunjungi Bhashan Char buat pertama kalinya. Pada pertengahan April, agensi itu mendesak Bangladesh untuk memperlahankan program memindahkan pelarian ke Bhashan Char kerana, kata UNHCR, langkah-langkah keselamatan untuk melindungi pelarian dari ribut dan banjir belum dilaksanakan sepenuhnya.
Kemenangan buat Muslim Rohingya, mahkamah antarabangsa perintah Myanmar hentikan genosid. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Kemenangan Buat Muslim Rohingya, Mahkamah Antarabangsa Perintah Myanmar Hentikan Genosid
Rakyat Malaysia Buat Pelarian Rohingya Rasa Tidak Selamat, Dakwa Negara Ini Sudah Jadi Penjara
Kenapa Masyarakat Muslim Rohingya Tidak Sepatutnya ‘Merayakan’ Rampasan Kuasa Di Myanmar?