Rekrut baharu Arsenal, Riccardo Calafiori tanpa berselindung mengakui memang menjadi impiannya untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Impian pemain pertahanan kental yang datang dari Bologna itu menjadi kenyataan selepas beliau diumumkan sebagai pemain baharu Arsenal dengan yuran perpindahan bernilai £42 juta.

Cemerlang bersama Bologna pada musim lalu dan menjadi pilihan utama Luciano Spalletti untuk menyertai skuad kebangsaan Itali, Calafiori telah memeterai kontrak selama lima tahun bersama The Gunners.

Keputusan rasmi yang nyata membuatkan pesaing Arsenal iaitu Chelsea dan Juventus kecewa dimana kedua-dua pasukan itu turut berusaha keras untuk mendapatkan khidmat Calafiori.

Mengulas mengenai kehadirannya ke London, Calafiori melihat ia sebagai mimpi yang menjadi kenyataan kerana beliau sudah lama mengimpikan perkara ini.

“Ia merupakan satu perasaan yang luar biasa. Amat sukar hingga ke hari ini tetapi akhirnya kami berada di sini dan saya tidak sabar untuk mula berlatih bersama pasukan dan bermain untuk peminat.”

“Sebenarnya ia memang merupakan impian sejak saya berusia 12 atau 13 tahun kerana saya dapat melihat tahap liga di sini dan para pemain terbaik di dunia.”

“Bagi saya untuk bermain di sini (EPL), ia merupakan satu impian dan bukan hanya buat saya tetapi kepada semua pemain bola sepak,” ujar Calafiori menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Arsenal.

 

Sumber