Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman — itulah kata hikmah yang dikongsikan orang lama dahulu.

Nama Mohd Alfishahrin bukanlah asing bagi penunggang-penunggang motosikal jarak jauh. Beliau dan isterinya buat ‘kerja gila’ dengan menempuh ribuan kilometer untuk ke Piala Asia Qatar dan Olimpik Paris 2024 dengan menaiki Honda RSX 150cc.

Baca Juga:

Menerusi satu hantaran Facebook baru-baru ini, beliau berkongsi satu pengalaman manis semasa melalui sebuah lebuh raya di Jerman.

“Tengah ride dekat lebuh raya Jerman, ada bikers tegur kami. Mula-mula perasan dia ambil video sahaja, bila kami berhenti dekat R&R kecil, dia ikut berhenti sekali.

“Dia cakap nak belanja kami isi minyak dekat R&R seterusnya. Kami bawa tak laju walaupun lebuh raya itu boleh bawa 400km/j. Tapi dia sangguplah ikut belakang dengan kelajuan 100km/j sahaja dengan motosikal besar dia,” kata Alfishahrin.

Sumber Gambar: Facebook Mohd Alfishahrin

Menurut beliau, harga minyak di stesen minyak di eropah tidak konsisten. Ia berbeza-beza mengikut lokasi.

Harga di tepi lebuh raya lebih mahal, ada mencecah €2.30 (RM11.21) seliter. Manakala kawasan kampung hanya €1.60-€1.70 (RM7.80-RM8.28) sahaja.

“Sebelum kami jumpa bikers ini, kami dah isi penuh. Jalan tak jauh sangat, jadi masa isi, cuma €4.80 (RM23.39) saja sudah penuh.

“Dia gelakkan — Only this? — Ya la, motor dia tangki besar (BMW GS1250), Kami standard 4.5 liter, kalau betul-betul kering pun €8-€9 (harga isi penuh).

“Agaknya sedikit sangat kami isi, dia siap belikan kad isi minyak. Tak pasti berapa ada dalam itu. Mungkin €20 (RM97.45). Alhamdulillah, dapatlah jimat sedikit petrol,” kongsi Alfishahrin lagi.

Selepas mengisi minyak, mereka berbual sebentar lalu meneruskan perjalanan masing-masing.

Alfishahrin meluahkan rasa bersyukur dapat berjumpa orang baik-baik sepanjang perjalanannya.

“Alhamdulillah, banyak jumpa org baik-baik,” kata Alfishahrin.