Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mendedahkan beliau tidak akan jadi jurulatih kepada mana-mana pasukan selepas bersara daripada sukan bola sepak.
Menurut kenyataannya dipetik menerusi instagram Fabrizio Romano, Al Nassr mungkin pasukan terakhir yang disertai beliau dalam karier bola sepak sebelum mengambil keputusan gantung but.
Baca Juga:
“Saya tak pasti sama ada akan bersara dalam tempoh dua atau tiga tahun ini tetapi kemungkinan saya akan bersara di Al Nassr.
“Saya gembira bersama kelab dan merasa baik-baik juga di negara ini. Saya suka bermain di Arab Saudi, saya mahu meneruskannya,” katanya.
“Sukar untuk memikirkan sama ada saya jadi pengurus pasukan satu hari nanti. Dalam fikiran saya, saya tidak mempertimbangkan untuk menjadi jurulatih kepada mana-mana pasukan bola sepak. Saya tidak terfikir langsung.
“Saya hanya melihat masa depan saya melakukan perkara yang di luar bola sepak,” jelas Ronaldo.
Sejak menyertai Al Nassr, Ronaldo telah menjaringkan 67 gol daripada 73 penampilan. Beliau sempat membantu Al Nassr menjuarai Piala Kejuaraan Arab pada tahun 2023.
Masa depan pemain itu hangat dibincangkan oleh peminat bola sepak apabila namanya turut dipertimbangkan untuk menyarung jersi Portugal dalam saingan Piala Dunia 2026 nanti.
Beliau juga baru sahaja melancarkan saluran YouTube rasmi dan berjaya meraih jutaan pengikut hanya dalam beberapa jam selepas pelancaran.
Ronaldo mempunyai seramai 112.5 juta pengikut di platform X, 170 juta di laman Facebook dan 636 juta di laman Instagram.
Ini menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai individu dengan paling banyak pengikut di ketiga-tiga platform ini dengan jumlah 917 juta pengikut mengatasi atlet dan juga selebriti lain di dunia.