Berita baik buat peminat bola sepak tanah air apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan perlawanan Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari ini.
Perkembangan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, selepas menjawab soalan mengenai sama ada RTM akan menyiarkan pertandingan terbabit atau sebaliknya.
Baca Juga:
- Darren Lok Mahu Buktikan Malaysia Memang Layak Beraksi Di Piala Asia 2023
- Kim Pan Gon: Kita Akan Tunjuk Mentaliti Juara Di Piala Asia
- Irfan Bakti Bimbang Harimau Malaya Bertukar Harimau Naturalisasi
“Saya ingin maklumkan mengenai Piala Asia 2023, ada beberapa pihak bertanya adakah ia akan disiarkan di RTM.
“Jawapannya ialah ya ia akan disiarkan bermula 12 Januari dan saya sudah mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib dan insya-Allah ia akan disiarkan,” katanya.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai jumlah perlawanan yang disiarkan akan dimaklumkan oleh pihak RTM nanti.
Tinggal 10 hari lagi Piala Asia akan bermula. Kongsi poster ini untuk rujukan anda dan rakan-rakan.
Semua jadual ini dalam waktu Malaysia.#harimaumalaya#AFCAsianCup2023 pic.twitter.com/UG8dEE5ICr
— VOCKET FC (@vocketfc) January 2, 2024
Sebelum ini, segelintir peminat bola sepak tempatan menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial mengenai isu siaran langsung perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
Tidak semua penyokong mampu melanggan siaran berbayar untuk menonton perlawanan tersebut. Justeru itu, mereka bergantung kepada siaran percuma di saluran TV milik kerajaan untuk ditonton bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.
Tidak kira dalam atau luar negara, setiap perlawanan melibatkan skuad kebangsaan sentiasa mahu ditonton oleh peminat bola sepak tanah air sekaligus menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.
Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Belia Dan Sukan Negara (JSBN) sentiasa menyediakan skrin besar di lokasi terpilih untuk orang ramai menonton beramai-ramai sambil memberikan sokongan padu.
Inisiatif ini dilakukan oleh pihak kerajaan sekiranya terdapat perlawanan-perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara terutamanya dalam sukan bola sepak.
Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.