Starbucks, gergasi kopi dari Seattle, kini berdepan cabaran selepas mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Laxman Narasimhan akan melepaskan jawatannya selepas hanya 17 bulan memegang tampuk kepimpinan syarikat tersebut, lapor CBC.

Selasa lalu, Starbucks mengumumkan bahawa Brian Niccol, Pengerusi dan CEO Chipotle, akan dilantik sebagai Pengerusi dan CEO Starbucks yang baharu mulai 9 September.

Saham Starbucks Corp. melonjak lebih daripada 21 peratus dalam dagangan awal selepas pengumuman itu dibuat menunjukkan reaksi positif pelabur terhadap pengunduran Narasimhan dan pelantikan Niccol.

Narasimhan, yang sebelum ini berkhidmat sebagai eksekutif PepsiCo dan CEO Reckitt, syarikat kesihatan pengguna yang berpangkalan di UK, dilantik sebagai CEO Starbucks pada Mac 2023, menggantikan Howard Schultz.

Sepanjang Starbucks diketuai Narasimhan, syarikat itu menghadapi pelbagai isu, termasuk persaingan dari pesaing kos rendah di China dan boikot di Timur Tengah serta kawasan lain akibat sokongan Starbucks yang dianggap memihak kepada Israel.

Sejak lima tahun yang lalu, saham Starbucks telah hilang kira-kira 20 peratus daripada nilainya, manakala pasaran luas S&P 500 telah meningkat lebih daripada 80 peratus.

Pada bulan Julai, syarikat itu gagal memenuhi jangkaan jualan akibat permintaan yang semakin berkurang di Amerika Syarikat dan China.

Barry Schwartz, Ketua Pegawai Pelaburan di Baskin Wealth Management, memberitahu CBC News bahawa adalah mengejutkan bahawa Starbucks berjaya menarik seorang “superstar CEO” memandangkan cabaran besar yang dihadapi syarikat itu.

“Inilah tamparan yang Starbucks perlukan kerana jenama ini telah mati dan sahamnya juga telah lama mati,” katanya. “Keputusan suku lepas adalah bencana – pertumbuhan di China semakin perlahan, minuman terlalu mahal, transaksi dan volum semakin merosot.”

Pada bulan Mei lalu, beberapa hari selepas Starbucks mengurangkan ramalan jualan tahunan, Schultz menulis di akaun LinkedIn beliau bahawa operasi di Amerika Syarikat adalah “sebab utama kejatuhan syarikat” dan bahawa pemimpin kanan perlu meluangkan lebih banyak masa bersama pekerja.

Pendapatan Starbucks jatuh pada suku berikutnya, walaupun syarikat memperkenalkan minuman baharu musim panas yang berjaya menaikkan jualan di Amerika Syarikat.

Namun, syarikat terpaksa menarik balik kempen pemasaran selepas kehabisan bahan, kata Narasimhan dalam satu panggilan persidangan bersama pelabur baru-baru ini.