Nama Saiful Jamaluddin tiba-tiba jadi sebutan peminat bola sepak tempatan di medial sosial apabila mempamerkan prestasi mantap ketika menentang Kelantan Darul Naim (KDN FC) di Stadium Temerloh sabtu lalu.
Rata-rata peminat berpendapat Saiful adalah bintang baharu yang dalam pembikinan untuk posisi pemain tengah bertahan dan mereka meramalkan pemain yang berusia 22 tahun itu bakal meletup musim ini.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Kad Kredit Bahaya? Mari Ambil Tahu Tentang Kelebihan Dan Keburukannya
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
Beliau turut menyertai skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23) ketika saingan Piala Asia B-23 di Qatar baru-baru ini namun hanya memanaskan bangku simpanan.
Justeru itu, beliau tekad menambat hati pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad untuk terus berada dalam kesebelasan utama saingan Liga Super 2024-2025.
Harapannya adalah agar lebih ramai pemain muda yang kini beraksi di pentas Piala MFL memiliki impian sama untuk cuba merebut tempat ke skuad utama dengan menampilkan prestasi terbaik.
“Tahun lepas memang rezeki saya apabila dapat banyak bermain untuk perlawanan di kejohanan Piala MFL dan jurulatih pun nampak potensi saya waktu seterusnya memanggil saya untuk sertai skuad utama.
“Memang dari dulu saya dah pasang niat untuk beraksi di Liga Super dan saya harap kawan-kawan yang lain juga terus bersemangat untuk buktikan sesuatu di Piala MFL agar dapat diserap juga.
“Tapi banyak juga yang saya kena ubah terutamanya daripada segi permainan sebab kalau di Piala MFL corak permainan berbeza dan di Liga Super lebih laju,” jelasnya kepada MFL.
Menjelang aksi kedua Liga Super, Sri Pahang bakal berdepan Kuching City FC pada Ahad ini, dan dijangka pertembungan yang sengit antara dua kelab ini melihat kepada perkembangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini lebih mantap.
Kuching City terdahulu berjaya menafikan hasrat kemenangan Kuala Lumpur City FC untuk meraih tiga mata selepas seri dalam pertembungan pertama Liga Super tempoh hari.
“Saya ada tengok juga aksi Kuching City masa lawan Kuala Lumpur City dan boleh nampak yang mereka semakin baik.
“Kita memang tidak boleh ambil mudah perlawanan ini dan perlu meneruskan momentum untuk raih tiga mata selepas ini”, jelasnya.