Pada awal Januari lalu, tular kisah rakan-rakan Aman Graseka menyeru netizen untuk membantu beliau yang ditimpa kesusahan.
Difahamkan ramai yang tampil memberikan bantuan melalui nombor akaun yang dikongsikan oleh rakan-rakan pelakon itu.
Baca Juga:
- Shiera Ijoy Dedahkan Sumbangan Netizen Dan Artis Cukup Untuk Aman Graseka Buat Modal Berniaga
- Aman Graseka Tegaskan Dia Ada Kerja Sendiri Selain Berlakon
- Shiera Ajak Netizen Bantu Aman Graseka Untuk Bagi Anak Makan
Bagaimanapun Aman Graseka terkejut dengan berita yang tular mengenai tentangnya. Beliau menegaskan bahawa dirinya dan isteri dalam keadaan baik sahaja dan mereka masih ada sumber pendapatan daripada berniaga ketupat dan rendang.
“Demi Allah saya tak pernah minta duit daripada sesiapa kecuali Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan rakan-rakan terdekat yang saya kenal rapat, tapi itupun menggunakan akaun bank lain,” ujar Aman Graseka yang akhirnya tampil bersuara selepas didakwa sering meminta bantuan kewangan daripada rakan artis.
Memetik Berita Harian, Aman atau nama lengkapnya, Aman Shah Baharom Shah berkata, dia bukanlah seperti individu yang didakwa ramai dan ia adalah satu fitnah besar buatnya dan isterinya, Reena Arina.
“Sebelum semua ini viral, ada pihak kata saya sudah dua tahun minta bantuan, tapi saya tak pernah hubungi Sharifah Shahirah (Shiera) dan tiada nombor telefonnya.
“Jadi macam mana boleh tuduh saya hubunginya, sedangkan saya tiada nombor dia?
“Mahu dijadikan cerita, pelakon Aedy Ashraf hubungi saya, bertanya sama ada saya memerlukan bantuan. Saya tolak sebab okay sahaja tinggal di Kedah ini.
“Dari situ, Aedy maklumkan ada orang gunakan nama, nombor telefon dan akaun bank saya. Mujurlah Aedy bijak terus hubungi saya dan tanya kenapa rakan lain tak hubungi saya sendiri,” katanya kepada BH Online.
Kemudian Aman terus ke bank untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara yang terjadi.
“Saya cakap kepada Aedy semua ini tipu dan selepas isu tular saya terus ke bank. Bila pergi ke bank, pengeluaran duit ada, tapi duitnya tiada.
“Saya minta bank cetak senarai pemberi bantuan dan mereka maklumkan duit diterima ‘floating‘. Saya pun tak faham salah siapa kerana akaun bank ini saya khaskan untuk bantuan seperti BRIM,” katanya.
Justeru, Aman berkata, ia kemungkinan kegiatan ‘scammer’, namun yang mendapat bahana adalah dirinya dan isteri.
Katanya, sehingga kini, ramai memandang serong kepadanya dan isteri hanya kerana salah faham.
“Kami kena ‘scam’, tapi orang tak percaya, tak mengapalah. Saya juga buat laporan polis.
“Polis pun pelik ke mana duit ini pergi. Ada pihak mempersoalkan kenapa saya tak tampil buat penjelasan ketika itu.
“Kalau keluarkan cerita, ia akan berpanjangan dan bila begitu, mangsanya adalah kami.
“Tidakkah terfikir, kalau dalam masa dua tahun saya minta bantuan mungkin sudah dapat ratusan ribu, jadi buat apa saya minta lagi? Saya bukannya bodoh.
“Tapi masalahnya sekarang saya tidak dapat duit satu sen pun dan nama pula jadi buruk. Saya pergi mana-mana, orang pandang saya buruk.
“Tak mengapa, saya sudah tua, tapi adakah terfikir bila orang cakap kepada anak-anak saya.
“Saya bersumpah, tak terima duit yang disalurkan dalam akaun kecuali saya minta sendiri daripada rakan-rakan terdekat dan itu pun menerusi akaun lain,” katanya.
Jelas beliau lagi, orang ramai di sekelilingnya sudah memandang serong terhadap dirinya dan isteri.
“Sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya berniaga dan kadang kala saya hantar sampai ke Kuala Lumpur, tapi selepas perkara ini terjadi, ramai pelanggan tak sokong lagi.
“Ada juga teman artis yang saya rapat, tetapi sekat nombor telefon selepas isu ini viral. Ada juga yang bercakap buruk soal kami.
“Saya kasihan pada Reena sebab kadang-kadang dimaki depan-depan. Kami bagaikan sudah tiada maruah kerana dicaci, tetapi mereka tak tahu keadaan sebenarnya. Lebih teruk keluarga juga buang kami.
“Kalau minta, saya tak malu nak cakap sebab hidup seperti roda, ada kala di atas, kadang-kadang di bawah,” katanya.