Selangor FC (SFC) terus konsisten mengutip mata dalam saingan Liga Super musim 2024-2025 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pencabar terdekat, Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Jaringan tunggal tersebut disumbang oleh penyerang import SFC, Ronnie Fernandez yang hanya memerlukan 27 saat untuk mencipta gol terpantas dalam saingan Liga Super musim ini.

Baca Juga:

Ketika itu, Fernandez mendapat umpanan daripada Alvin Fortes dan terus melakukan rembatan deras dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin untuk pasukannya mendahului 1-0.

Gol itu juga memadam rekod gol terpantas 33 saat sebelum ini milik penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad dalam saingan Liga Super ketika berdepan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 11 Mei lalu.

Kemenangan tersebut turut memastikan kedudukan Selangor di tangga kedua tidak terjejas dan kini memiliki kelebihan sebanyak 9 mata mengatasi Terengganu yang berada di tangga ketiga dengan 16 mata.

Selain itu, Perak turut mengekori rapat apabila konsisten mengutip 3 mata dalam 3 perlawanan berturut-turut dan kini berada di tangga keempat dengan 15 mata.

Berdasarkan prestasi semasa, tidak mustahil Selangor mempertahankan gelaran naib juara Liga Super pada musim ini memandangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sukar digugat dan dijangka kekal di persada liga.