Selangor mungkin mengambil tindakan undang-undang sekiranya tiada keputusan yang dihasilkan berkaitan kes simbah asid yang dialami oleh Faisal Halim.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Najwan Halimi, berkata Selangor FC telah pun melantik peguam untuk terus memantau kes berkenaan.
Baca Juga:
- Ketua Polis Negara Tegaskan Siasatan Kes Faisal Halim Masih Berjalan
- ‘Terima Kasih Messi’ – Arif Aiman Ziarah Faisal Halim
- Ini Sebab Faisal Halim Tidak Dipanggil Hadapi Pestabola Merdeka
“Tindakan susulan berkaitan dengan kes terbabit, kita memang serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Tetapi, pada masa sama kita tidak tolak keperluan untuk pihak peguam dan pengurusan Selangor FC mengambil tindakan sewajarnya di peringkat lebih tinggi, sekiranya tidak ada apa-apa keputusan daripada siasatan dan hasil siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa pihaknya tidak berhenti daripada mencari maklumat serta petunjuk baharu dalam kes simbahan asid Faisal Halim.
Menurut sumber laporan BH Online, Razarudin mendedahkan seramai 23 individu sudah diambil keterangan dan tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan.
Namun usaha tersebut masih menemui jalan buntu kerana si pelaku masih lagi belum dapat diberkas oleh pihak polis.
“Daripada tangkapan dilakukan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.”
“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu.”
“Malah, pihak JSJ juga melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” ujar Razarudin.
Razarudin juga dalam pada itu mengharapkan agar orang awam yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut boleh menyalurkannya kepada pihak polis.
Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim menghadapi musibah terbesar dalam hidupnya apabila beliau menjadi mangsa simbah asid di perkarangan tempat letak kereta salah sebuah pusat membeli belah.