Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) dijangka akan membawa kes hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Perkembangan itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Mohd Najwan Halimi yang menjelaskan SFC sudah mengupah peguam dan sedia pertimbangkan membawanya ke peringkat lebih tinggi.

Baca Juga:

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul tergempar mengecam perbuatan ekstrim bersifat keganasan ke atas atlet sukan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam.

“Untuk makluman ahli-ahli dewan, Selangor FC sekarang ini sedang dalam proses untuk membawa kes hukuman yang telah dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini ke peringkat yang lebih tertinggi.

“Mereka telah melantik peguam dan sedang mempertimbangkan membawa kes ini ke peringkat mahkamah timbang tara sukan.

“Ini kerana sesuatu (hukuman) MFL sebelum ini lebih keras tetapi apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baru ada pertimbangan dan pengurangan.

“Tetapi walaubagaimanapun, pihak Selangor FC masih lagi akan teruskan rayuan dan bawa ke peringkat keadilan yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, MFL memutuskan untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap pasukan itu susulan ketidakhadiran ketika aksi Piala Sumbangsih menentang JDT.

Menurut MFL, denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

MFL turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Namun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.