Leftenan Muhammad Aiman Aufa terkejut surat layang yang pernah ditulisnya untuk meminta bantuan warden menyelamatkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman kembali tular di media sosial

Beliau merupakan saksi pendakwaan dalam kes pembunuhan  Zulfarhan dan sudah lama tidak melihat semula surat itu selepas hampir 8 tahun.

Baca Juga:

“Setelah hampir lapan tahun, ni ‘first time’ (kali pertama) saya tengok semula surat ini. Lepas saya letak dulu, tak pernah tengok dah sampai sekarang,” demikian kata Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi menerusi perkongsian di Instagram hari ini.

“Tak tahu lah macam mana boleh sampai ke ‘public’ (umum). Apa-apa pun al-Fatihah buat keluarga arwah. Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya. Al-Fatihah,” katanya.

Surat layang itu bertulis, ‘kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10 Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. Segera!!!’.

Berdasarkan fakta kes, surat layang yang ditulis atas kertas A4 itu diselitkan di pintu pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017. Surat layang kedua pula diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih keesokan harinya.

Tindakan Aiman Aufa tersebut turut mendapat pujian daripada warga maya yang memenuhi ruang komen di laman instagramnya.

“Terima kasih kerana masih ada sifat ihsan dan empati. Terima kasih tulis surat layang dan jaga arwah walaupun sebentar. Anda ialah hero,” komen seorang pengguna instagram.

“Terima kasih dik kerana mempunyai sifat empathy yang tinggi dan berhati mulia. Akak doakan agar adik semakin berjaya,” kata seorang lagi pengguna instagram.

Selasa lalu, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Zulfarhan Osman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.