Pemain tengah skuad kebangsaan, Zhafri Yahya menegaskan beliau tidak akan berputus asa untuk mendapatkan menampilan pertama bersama pasukan negara.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawa Astro Arena, Karl Nunis yang mana Zhafri ketika ini menjalani kem latihan pusat bagi menghadapi saingan peringkat kelayakan pusingan kedua menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada Jun nanti.
Pemain Kuala Lumpur City itu menegaskan beliau tidak akan menolak panggilan bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara walaupun gagal mendapat penampilan pertama dalam kempen kali ini.
Zhafri Yahya sebelum ini berada dalam senarai bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.
Selain Zhafri, seorang lagi pemain yang berada dalam senarai bersedia iaitu Nur Shamie Iszuan Amin turut dipanggil bagi menggantikan Darren Lok yang mengalami kecederaan.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.
Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.
Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.