Kempen Piala Malaysia 2024/25 bakal memasuki aksi separuh akhir selepas kesemua perlawanan suku akhir berakhir dengan Sabah menjadi pasukan terakhir mengisi kuota tersebut.
Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas tidak berdepan masalah untuk menundukkan KL City dengan agregat 6-1.

Baca Juga:
- Senarai 8 Pasukan Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2024-2025
- Trio Juara Piala Malaysia 2002 ‘Kembali Bersatu’ Bimbing Perak
- Berjaya Atasi Konsert Coldplay, 80,550 Penyokong Final Piala Malaysia Penuhi Stadium Nasional Bukit Jalil
Selepas menang 2-1 pada aksi pertama di Cheras, skuad kendalian Hector Bidoglio itu jelas sukar digugat untuk meraih kemenangan 4-0 di laman sendiri.
Menanti JDT di separuh akhir ialah Terengganu yang bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada aksi kedua untuk menang 4-2 di laman sendiri sekali gus mara dengan agregat 6-2.
Sri Pahang pula berdebar sebelum memastikan tempat selepas diikat Perak 3-3 pada aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh untuk menang dengan agregat 4-3.
Slot terakhir pula diisi oleh Sabah yang sekali gus bakal berhadapan dengan Sri Pahang pada aksi separuh akhir.
Sabah yang masih belum pernah bergelar juara Piala Malaysia berjaya mengenepikan cabaran hebat Kuching City dengan kemenangan agregat 1-0.
Senarai penuh perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2024/25:
Separuh Akhir Pertama
1) Terengganu lawan JDT
17 Januari (Jumaat)
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak
2) Sabah lawan Sri Pahang
17 Januari (Jumaat)
Stadium Likas, Kota Kinabalu
Separuh Akhir Kedua
1) JDT lawan Terengganu
1 Februari 2025 (Sabtu)
Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri
2) Sri Pahang lawan Sabah
1 Februari 2025 (Sabtu)
Stadium Majlis Perbandaran Temerloh