Siri Jelajah Dunia (World Tour) kejohanan badminton anjuran Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) semakin menghampiri penghujung.

Penutup saingan tahun ini bakal menyaksikan lapan wakil bagi setiap kategori akan bersaing dalam BWF World Tour Finals 2024 yang bakal diadakan di Hangzhou, China.

Baca Juga:

Seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, enam wakil negara akan turut serta bersaing dalam pertandingan bermula 11 hingga 15 Disember itu.

Hanya acara perseorangan wanita gagal menampilkan wakil negara, selebihnya Malaysia mempunyai wakil dalam usaha memburu kejuaraan yang menawarkan wang tunai cukup lumayan itu.

Berikut merupakan enam wakil Malaysia yang akan beraksi dalam BWF World Tour Finals 2024 nanti:

1) Lee Zii Jia – Perseorangan Lelaki

Pemain ranking ketujuh dunia itu layak selepas mengumpul 74, 940 mata untuk menduduki tangga keenam dalam senarai lapan pemain yang terpilih.

Tahun ini beliau berjaya memenangi Terbuka Thailand dan Australia manakala muncul naib juara Malaysia Masters.

Ketiga-tiga kejohanan tersebut adalah berstatus Super 500.

2) Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani – Beregu Lelaki

Beregu yang mencipta sensasi pada tiga bulan terakhir ini menduduki tangga keempat selepas mengumpul 78,780 mata.

Mereka cemerlang dalam memenangi kejohanan Super 500, 750 dan 1000 apabila menjuarai Terbuka Artic, Jepun dan China.

3) Aaron Chia-Soh Wooi Yik – Beregu Lelaki

Tuah nyata milik bekas juara dunia ini selepas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi gagal mara ke separuh akhir manakala Liang Wei Keng-Wang Chang pula tewas pada pusingan awal.

Keadaan ini membolehkan mereka layak beraksi di Hangzhou pada saat-saat akhir dimana turut mengecewakan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Tahun ini, Aaron-Wooi Yik menjuarai Terbuka Korea (Super 300) dan naib juara All England yang berstatus Super 1000.

4) Pearly Tan-M.Thinaah – Beregu Wanita

Tahun 2024 boleh dikatakan amat baik buat beregu nombor satu negara ini apabila mereka berjaya menjuarai Hong Kong dan muncul naib juara Terbyka Korea dan Terbuka Artic.

Setakat hari ini, mereka telah mengumpul 77,500 mata untuk berada di kedudukan kelima dalam senarai ‘Road to World Tour Finals’.

5) Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie – Beregu Campuran

Pasangan suami isteri ini berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 81,040 mata untuk memastikan tempat mereka ke Hangzhou.

Saingan 2024 menyaksikan mereka mengecapi nikmat selaku juara Malaysia Masters (Super 500), Terbuka Switzerland (Super 300) dan muncul naib juara kejohanan Super 1000, Terbuka China.

6) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei – Beregu Campuran

Pasangan ini berada di kedudukan yang baik untuk turut sama layak beraksi di BWF World Tour Finals 2024 selepas mengumpul 76,280 mata.

Mereka muncul juara Terbuka Korea (Super 500) dan dua kali bergelar naib juara iaitu ketika di Terbuka Thailand dan Terbuka Switzerland.