Seramai 16 pemain telah dipilih mewakili Malaysia bagi menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 18 hingga 26 Mei ini.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah mengumumkan pemain senior berpengalaman, Farhan Adam sebagai ketua pasukan.

Baca Juga:

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Zuhri Muhammad Zain, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Syahmi Hussin selaku tekong.

Apit kanan atau killer pula dibarisi Mohamad Azlan Alias, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhammad Redwan Hakim Muhammad, Baihakki A’rippin dan Muhammad Fetri Mohd Azwani.

Manakala Amirul Zazwan Amir, Farhan, Aidil Aiman Azwani, Muhammad Zaim Razali dan Norfaizzul Abd Razak untuk menggalas tugas di bahagian ‘feeder’.

Senarai pemain skuad Malaysia di Sepak Takraw Piala Dunia 2024

Sebanyak 21 negara telah mengesahkan slot untuk menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024. 12 pasukan akan berentap bagi kategori Premier manakala baki 9 pasukan bertanding dalam kategori Divisyen 1.

Negara yang beraksi dalam kategori Premier ialah Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, India, Korea Selatan, Jepun, Filipina, China, Vietnam, Myanmar dan Brunei.

Divisyen 1 pula menampilkan dua negara eropah iaitu Perancis dan Jerman serta 7 negara Asia, Bangladesh, Taiwan, Iran, Nepal, Pakistan, Arab Saudi dan Sri Lanka.

Piala Dunia kali ini menyaksikan kategori Premier mempertandingkan acara berpasukan yang mempunyai Piala Khas selain acara beregu dan regu turut dipertandingkan bagi kategori itu.

Divisyen 1 hanya mempertandingkan dua acara iaitu beregu dan regu, tiada berpasukan.

Buat pertama kali dalam sejarah, sistem mata ranking turut diperkenalkan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Ia bermakna setiap pasukan yang bertanding berpeluang meraih mata ranking dunia berdasarkan keputusan perlawanan dalam kejohanan tersebut.