Syarikat gergasi bahan api dan tenaga, Shell, sedang aktif dalam perbincangan dengan Saudi Aramco, syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi, untuk menjual perniagaan stesen minyaknya di Malaysia, lapor Reuters.
Perjanjian yang sedang dirundingkan ini dijangka bernilai sehingga AS$1 bilion (RM4.7 bilion), menurut empat sumber yang mempunyai pengetahuan tentang perbincangan tersebut.
Baca Juga:
- Berkesan Bersihkan Enjin Kereta, Pak Cik Shell Kongsi Cara Campur RON95 Dengan RON97
- Aplikasi Shell Sedia Untuk Digunakan Bagi Memudahkan Pengisian Minyak Di 650 Stesen Terpilih
Shell, yang memiliki rangkaian stesen minyak kedua terbesar di Malaysia, menolak untuk mengulas secara langsung mengenai rundingan tersebut, tetapi menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah pasaran yang penting bagi syarikat itu.
Sementara itu, Saudi Aramco juga enggan mengulas mengenai perkara ini.
Perbincangan antara Shell dan Saudi Aramco ini telah bermula sejak akhir tahun 2023, dan perjanjian mungkin akan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang, menurut satu sumber yang terlibat dalam rundingan tersebut.
Potensi nilai transaksi ini diperkirakan berada dalam julat antara RM4 bilion hingga RM5 bilion ringgit ($844 juta hingga $1.06 bilion), menurut dua sumber yang diberi taklimat mengenai perkara ini.
Langkah untuk menjual perniagaan stesen minyak di Malaysia ini adalah sebahagian daripada usaha Shell untuk memfokuskan operasinya kepada perniagaan yang paling menguntungkan, yang telah diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wael Sawan.
Shell berhasrat untuk melepaskan 500 stesen minyak tahun ini, dan telah menjalankan proses penjualan kilang penapisan dan petrokimia di Singapura.
Penjualan perniagaan stesen minyak di Malaysia oleh Shell adalah sejajar dengan usaha mereka untuk menjual loji penapisan mereka di Pulau Bukom, Singapura, yang merupakan bekalan kepada rangkaian stesen minyak mereka.
Bagaimanapun, walaupun Saudi Aramco tidak mempunyai stesen minyak di Malaysia, mereka mempunyai usaha sama dengan Petronas dalam penapisan Pengerang di Johor.
Dengan perbincangan ini, Shell dan Saudi Aramco sedang merancang untuk melaksanakan transaksi besar yang boleh mengubah landskap industri minyak dan gas di Malaysia.
Bagi Shell, ini adalah langkah strategik dalam usaha mereka untuk menyesuaikan portfolio mereka dengan keperluan pasaran semasa, sementara bagi Saudi Aramco, ia membuka peluang baru dalam pasaran minyak Asia Tenggara.