Anda kenal Shaheizy Sam? Dato’ Siti Nurhaliza menang 7 kali title Bintang Paling Popular, Shaheizy Sam ini mengekori rapat dengan kejayaan 4 kali memenangi anugerah yang sama.
Hebat, bukan? Popular tu. Kalaulah saya boleh jadi popular macam mereka (mimpi je lah! Hehe).
Tonton: Peminat Cipta Lagu Khas Untuk Heroin Cinta Si Wedding Planner
Hari ini saya tidak mahu bercerita tentang lakonannya, nyanyiannya atau karya seninya. Peminat-peminatnya lebih tahu.
Jika dilihat perwatakan Shaheizy Sam yang selalu merendah diri, senantiasa bersama ibunya, Khaty Fauziah (Mummy Khaty), selalu berterima kasih kepada Mummy, ada kalanya bawa Mummy ke stage menerima anugerah dan press events, saya kagum dengan sifat soleh seorang anak lelaki yang wujud pada diri Shaheizy Sam ini.
Dalam semua kejayaan demi kejayaan yang dicapai Shaheizy Sam ini terpancar kebahagiaan seorang IBU yang gembira dengan tindak-tanduk hormat dan kasih sayang seorang anak lelaki terhadapnya.
Tidakkah anda rasa BAKTI KEPADA IBU inilah merupakan RAHSIA KEJAYAAN selebriti bernama Shaheizy Sam ini?
Terbaru adalah berita pernikahannya dengan Syatilla Melvin yang mula menjaga aurat dengan baik, Shaheizy Sam telah menonjolkan betapa dia mementingkan kebahagiaan Mummy dalam setiap tindakannya.
Saya terkesan dengan kata-kata yang Shaheizy Sam ucapkan kepada isterinya, Syatilla Melvin. Lebih kurang begini bunyinya:
“Aku mencintaimu bukan kerana aku kagum pada dirimu, aku ingin membuatkan kamu merasa sempurna. Tetapi cinta teragungku adalah ibuku.”
Baca: 5 Tip Memilih Calon Pilihan Hati Berpandukan Sirah Rasulullah SAW
Ini menepati apa yang telah dinyatakan di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim:
Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata: Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata,
“Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?”
Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Ibumu!”
Dan orang tersebut kembali bertanya, “Kemudian siapa lagi?”
Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Ibumu!”
Orang tersebut bertanya kembali, “Kemudian siapa lagi?”
Beliau menjawab, “Ibumu.”
Orang tersebut bertanya kembali, “Kemudian siapa lagi”
Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Kemudian ayahmu.”
Kisah Shaheizy Sam ini bukan kisah sempurna tetapi sebuah kisah yang dapat dijadikan contoh yang baik, mahmudah dan positif.
Petikan surah Al-Ahqaaf, ayat 15:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata:
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”
Dan petikan surah Luqman ayat 14:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Berbahagialah seorang ibu. Beruntunglah seorang suami yang punya isteri yang memahami tanggungjawab sebegini. Dan bergembiralah seorang isteri yang redha, sabar dan syukur kerana isteri punya tempat hebat tersendiri di sisi seorang suami.
Baca: Berpeluang Membawa Cokmar Universiti Adelaide, Lelaki Ini Ada Misi Besar