Skuad futsal Selangor terus meningkatkan kekuatan pasukan apabila mengumumkan kehadiran pemain import kelahiran Brazil, Wellington Pereira Rodrigues Adao.
Perkembangan terkini mengenai kedatangan pemain berusia 30 tahun itu disahkan Selangor menerusi pengumuman rasmi di laman sosial kelab tersebut sebentar tadi.
Baca Juga:
- Pahang Rangers Turut Tepis Dakwaan JDT Gunakan Cara Kotor Untuk Dapatkan Pemain
- Ridzwan Bakri, Kelincahannya Buat Lawan Gentar
- Skuad Futsal JDT Sambar Khidmat Yazid Kamaruzuan
Wellington yang mesra dengan panggilan ‘Well’ itu dilihat tidak berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri bersama pasukan baharunya kerana sudah semusim beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Pemain kelahiran Santo Andre itu sebelum ini menyarung jersi Shah Alam City dimana beliau berjaya menjaringkan 15 gol dalam saingan MPFL dan empat jaringan Piala Futsal Malaysia 2023.
Berpengalaman beraksi dalam saingan liga utama di Brazil termasuk ketika bersama Magnus Futsal yang merupakan kelab gergasi di sana memberikan indikasi jelas Wellington mampu untuk menjelmakan kemampuan hebatnya.
Ia juga dapat disaksikan apabila beliau menjadi tunjang kekuatan Shah Alam City dengan sikap kepimpinan tinggi serta corak permainan berkelas dunia ditampilkannya pada musim lalu.
Tambahan pula Wellington akan dibantu dengan rakan sepasukan yang cukup berkualiti seperti Syahir Iqbal Khan Akhbar Khan, Faris Johan, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Khairul Effendy Bahrin, Aidil Shahril Rosli.
Selain itu, ‘connection’ Brazil juga dapat membantu Wellington Pereira untuk cepat menyesuaikan diri dengan keadaan dalam pasukan kerana Selangor dibimbing oleh Edgar Eder Baldsso dan seorang lagi pemain import, Matheus Vasconcelos Silva juga kelahiran negara samba tersebut.
Selangor merupakan antara pasukan yang cukup sibuk dalam jendela perpindahan kali ini kerana membawa masuk ramai pemain baharu dalam usaha memantapkan pasukan untuk memberikan saingan sengit buat Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim (JDT).