Salah seorang pemain import pasukan Kedah Darul Aman, Sony Norde mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Hijau Kuning sebelum saingan Liga Malaysia musim 2024/2025 berakhir.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Sony bakal menyertai salah satu kelab yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Baca Juga:

Sebab utama mengapa Sony Norde meninggalkan pasukan masih belum diketahui ketika artikel ini ditulis namun ramai yang berpendapat ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan itu.

Sebelum ini, Vocket melaporkan bahawa salah seorang pemain Kedah mendedahkan beliau sudah sembilan bulan tidak menerima gaji dan perkara ini menjadi perbualan di laman media sosial.

Musim ini, Kedah Darul Aman menjadi salah satu pasukan yang terjerat dengan masalah kewangan sehingga menyebabkan prestasi tidak menentu yang ditampilkan oleh pasukan itu.

Ekoran masalah ini, pemain Kedah telah memboikot sesi latihan sebanyak dua kali selepas tiada langkah proaktif yang diambil pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain terpaksa menurunkan pemain muda yang baru sahaja menjalani latihan selepas tamat Sukan Malaysia (SUKMA) pada perlawanan menentang Kuala Lumpur City yang menyaksikan Kedah tewas dengan keputusan 5-0.

Seorang lagi pemain import Kedah, Jose Cleylton menegaskan beliau tidak pernah berdepan masalah tunggakan gaji dalam kariernya sebelum beraksi di Liga Malaysia.

Menurut laporan Sinar Harian, Cleylton menegaskan sepanjang 13 tahun karier sebagai pemain profesional dan beraksi di beberapa negara sebelumnya, ini merupakan kali pertama gajinya tertunggak.

Pemain import Kedah itu turut menggesa agar pengurusan pasukan segera menyelesaikan masalah yang berlaku bagi memastikan para pemain mendapat hak masing-masing.

“Sepanjang 13 tahun bergelar pemain profesional, saya belum pernah berdepan situasi seperti ini.

“Saya masih mengharapkan penyelesaian dapat dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya.