Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan lebih ramai pegawai bank akan ditahan dalam satu operasi yang dinamakan sebagai Op Sky.

Operasi ini dijalankan hasil dari kerjasama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa institusi kewangan dalam negara susulan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pengarah firma perunding kewangan dan pegawai bank.

Baca Juga:

Sebelum ini, serbuan yang dilakukan oleh pasukan operasi melakukan tangkapan terhadap 12 individu disyaki terlibat dengan sindiket tersebut, tersebut termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan telah ditahan reman pada pagi Selasa.

Menurut laporan NST, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dalang sindiket ini antara 12 yang ditahan dalam operasi itu.

“Individu ini dikaitkan dengan salah sebuah syarikat yang sedang disiasat. Siasatan lanjut akan ditumpukan kepada individu ini. Ia akan dilakukan dalam tempoh seminggu.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, kami percaya sindiket itu akan memohon pinjaman melalui pelbagai bank dan akan menerima bayaran berjumlah satu peratus daripada nilai pinjaman sebaik sahaja ia diluluskan.” katanya.

Menurut Azam lagi, syarikat perunding kewangan tersebut dipercayai akan membantu menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu, seterusnya akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.

Kata beliau, hasil siasatan menunjukkan syarikat perunding akan mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang tersebut.

Setelah pinjaman diluluskan, katanya, peminjam akan membayar balik pendahuluan itu manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan.

Tambahnya, dalam operasi itu, SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta.

Selain itu, SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan pelbagai jenama terdiri daripada Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda serta Honda.