Hasrat peminat untuk melihat calon pemain warisan negara, Mats Deijl untuk menyarung jersi skuad kebangsaan tidak menjadi kenyataan selepas status pemain itu tidak menepati peraturan FIFA.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, FIFA mengesahkan bahawa dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan, didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat badan itu.
Baca Juga:
- Mats Deijl Tidak Akan Beraksi Bersama Malaysia
- Ini Komen Mats Deijl Selepas Disahkan Tidak Layak Sertai Harimau Malaya
- Warga Indonesia Serang Instagram Josh Brownhill
Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.
SIARAN MEDIA: FIFA SAHKAN MATS DEIJL TIDAK MELEPASI SYARAT KELAYAKAN UNTUK SERTAI SKUAD HARIMAU MALAYA
▶️ Baca penuh siaran media ini di https://t.co/1BZyPOnDUP#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/YwHyvVfBKC
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 1, 2024
Melihat kepada apa yang terjadi kepada Mats Deijl, ramai pihak mula mempersoalkan calon pemain warisan lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Malaysia sebelum ini.
Di laman media sosial, peminat mula tertanya-tanya sama ada status pemain seperti Josh Brownhill, Ferdy Druijf dan Zian Flemming menepati peraturan FIFA dan boleh beraksi bersama skuad kebangsaan.
Dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.
Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.
Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain ini, FAM pada 23 September 2024 telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain ini yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).
Untuk makluman, FAM juga sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA.