Sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) bakal dibina di Pulau Langkawi dengan menggunakan teknologi levitasi magnet menurut laporan Berita Harian.

Kajian bagi mewujudkan LRT di Langkawi akan dilaksanakan oleh syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan  yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

RETD bakal bekerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat bagi membolehkan sistem berkenaan dilaksanakan di pulau pelancongan tersebut.

“Hasil dapatan kajian ini yang akan menentukan panjang jajaran, stesen dan prasarana berkaitan tetapi pada dasarnya kita merancang untuk membangunkan perkhidmatan ini dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Chenang.

“Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa sebelum dikembangkan ke destinasi pelancongan lain yang terdapat di Langkawi agar kita dapat memiliki rangkaian pengangkutan terbaik,” kata EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah.

Bagaimanapun, rancangan Kedah untuk mewujudkan LRT di Pulau Langkawi itu mendapat pelbagai reaksi berbeza dalam kalangan warga maya.

Ada yang berpendapat Langkawi tidak perlu mengecapi arus permodenan dan kekalkan suasana perkampungan serta alam semula jadi.

Pulau Langkawi kebiasaannya menjadi destinasi warga kota untuk bercuti dan melepaskan tekanan namun ada yang berpendapat pembinaan LRT bakal merosakkan suasana tenang pulau tersebut.

Difahamkan, tren LRT bakal diwujudkan itu permulaan perkhidmatannya disasarkan dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Chenang sebelum dikembangkan ke destinasi pelancongan lain sekitar Langkawi.

Pembangunan projek it mengambil kira keperluan Langkawi dalam melaksana perubahan sistem pengangkutannya agar dapat mengekalkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan.