Perak Bison melangkah ke pentas final Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Pulau Pinang selepas berjaya menundukkan Terengganu Turtles 2-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di SPICE Arena, Bayan Baru sebentar tadi.

Pengendali Perak Bison, Mohd Dzafril Mohd Anuar mengekalkan barisan pemain sama seperti ketika bertemu Selangor Pistons semalam iaitu Kritsada Sungvung serta Meor Zulfikar Mat Amin selaku tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri).

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Trio tersebut beraksi dengan cukup tenang untuk mengenepikan cabaran Terengganu yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak dan Teerapat Promnin (tekong), Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi (apit kanan) serta apit kiri, Muhammad Zulhusni Basri.

Set pertama menyaksikan Kritsada dan Zulkifli tampil dengan cukup baik dalam menjelmakan servis-servis menarik bagi membantu pasukan masing-masing mendapatkan mata.

Namun, trio Perak Bison memperagakan aksi lebih garang untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 15-11.

Skrip berbeza pada set kedua apabila kemasukan Teerapat jelas mengubah nasib Terengganu Turtles yang nyata membuatkan Perak Bison berada dalam kesukaran.

Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan mudah 15-5 dilakarkan skuad kendalian Mohd Faisal Muhamad itu sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Tersentak dengan kekalahan mudah tersebut, Perak Bison memperbaiki corak permainan dan pengalaman jelas memihak mereka untuk mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 15-8.

Ia merupakan final kedua buat Perak Bison dimana sebelum ini mereka melakukannya di GP Selangor tetapi tewas kepada Kuala Lumpur Thunder.