Kehadiran semula Muhammad Hairul Hazizi Haidzir nyata membuahkan hasil selepas beliau beraksi cemerlang membantu Johor Tigris menewaskan Bomba Fighters pada aksi kumpulan C Sepak Takraw League (STL) 2024 bagi GP Pulau Pinang.
Bekas pemain tekong skuad kebangsaan itu menjadi nadi kekuatan buat Johor Tigris untuk menang mudah 15-4, 15-6 sekali gus menghidupkan peluang ke suku akhir.
Baca Juga:
- STL 2024: Jadual Penuh Perlawanan GP Pulau Pinang
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
- Senarai Penuh Pemain Dalam Liga Premier STL 2024
Hairul yang sebelum ini bersama ATM Guardians terpaksa berehat panjang ekoran masalah kecederaan dialaminya. Namun, meskipun begitu aksinya pada perlawanan ini jelas memukau dengan sembilan servis ‘winner’ dicipta.
Selain Hairul Hazizi, Johor Tigris membariskan Teerapat Deecharoen selaku apit kanan dan apit kiri berpengalaman, Farhan Adam.

Manakala, Bomba Fighters yang menang pada aksi pembukaan menentang ATM Guardians mempertaruhkan Irsyad Faiz Aziz (tekong), Anda Madlee (apit kanan) dan Muhammad Zaim Zamri (apit kiri).
Namun, segalanya serba tidak menjadi buat anak-anak buah Mohd Hirman Omar itu yang menyaksikan mereka hanya mampu mendapatkan 10 mata keseluruhan bagi kedua-dua set.
Dengan keputusan tersebut, saingan masih terbuka buat Johor Tigris, Bomba Fighters dan ATM Guardians untuk mara ke suku akhir.
Perlawanan terakhir saingan kumpulan C menyaksikan ATM Guardians perlu untuk menang ‘straight set’ ke atas Johor Tigris untuk ‘menendang keluar’ Bomba Fighters daripada persaingan berdasarkan perbezaan kutipan mata dalam perlawanan.
Sementara itu pada 4.30 petang nanti, Selangor Pistons akan berhadapan dengan Kelantan Warriors.