Juara bertahan Emas Anuar Sepak Takraw League (STL), Perak Bison mengumumkan kehadiran dua pemain import baharu dari Thailand bagi menghadapi musim 2024.

Perkembangan terkini itu disahkan Perak Bison menerusi video pengenalan pemain yang dimuatnaik di laman sosial rasmi kelab tersebut.

Baca Juga:

Dua tonggak kelahiran Thailand yang dimaksudkan ialah pemain di posisi tekong, Kritsada Sunwung dan perejam berpengalaman, Treepong Rawangpai.

Kritsada nyata tidak asing lagi dalam kancah STL kerana beliau sebelum ini pernah menyarung jersi Sabah Mountaineers dan Terengganu Turtles.

Dalam pada itu, beliau juga hadir dengan reputasi hebat apabila pernah menyertai sesi latihan skuad kebangsaan Thailand.

Di Thailand, beliau beraksi bersama pasukan Police Thai dimana Treepong Rawangpai juga turut menganggotai skuad tersebut dalam saingan Liga Sepak Takraw Thailand.

Treepong juga tidak kurang hebatnya berikutan pengalaman luasnya selaku bekas pemain skuad kebangsaan Thailand.

Lebih menarik, Kritsada dan Treepong berada dalam satu pasukan dengan bekas pemain tekong Perak musim lalu yang beraksi dengan cukup cemerlang iaitu Jakkrit Thinbangbon di Police Thai.

Sudah pastinya Jakkrit meyakinkan pengurusan tertinggi Perak Bison untuk mendapatkan khidmat dua rakannya itu.

Selain dua pemain tersebut khidmat dua pemain kebangsaan, Noraizat Nordin (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) masih dikekalkan.

Keserasian yang cukup tinggi dijelmakan kedua-dua pasukan jelas mampu menjadikan Perak sebagai antara pasukan disegani pada musim baharu ini.

Musim lalu jelas menjadi pentas yang cukup cemerlang buat Perak Bison apabila berjaya menjuarai saingan liga dan naib juara Champions Cup dan Challenge Cup manakala kecemerlangan itu diteruskan hingga mereka menjulang Piala Tun Ali.

Berikut merupakan senarai penuh barisan pemain Perak Bison pada musim ini:

1) Meor Mohamad Zulfikar Bin Mat Amin (Tekong)

2) Kritsada Sunwung (Tekong)

3) Muhammad Noraizat Mohd Nordin (Perejam)

4) Treepong Rawangpai (Perejam)

5) Madzrul Aziq Mat Tahir (Perejam)

6) Aidil Aiman Azwawi (Pengumpan)

7) Muhammad Asyraaf Abdul Hadi (Pengumpan)

Sumber