Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mempamerkan aksi cemerlang untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir temasya Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Paris sebentar tadi.
Berdepan lawan yang merupakan pemain ranking ketiga dunia dan sudah lima kali menewaskannya sebelum ini, Zii Jia mempamerkan ketenangan di tahap tertinggi walaupun diberikan tentangan hebat wakil Denmark itu.

Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Tempah Slot Ke Suku Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Mudah Ke Pusingan 16
- Sukan Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Mara Ke Suku Akhir, Zii Jia Menang Aksi Sulung
Zii Jia mendapat kelebihan 11-8 pada rehat ‘interval’ tetapi kemudiannya dua sahabat baik itu terikat 16-16 pada lewat aksi set pertama.
Pemain kelahiran Alor Setar itu kemudiannya menyerap tekanan dengan baik untuk memastikan set pertama menjadi miliknya dengan kemenangan 21-17.
Momentum cemerlang itu diteruskan Zii Jia yang beberapa kali berjaya menjerat pergerakan Antonsen untuk mendahului 11-6.
Meskipun Antonsen cuba untuk memberikan saingan,Lee Zii Jia tidak mensia-siakan kelebihan dimiliki untuk mengesahkan kemaraannya ke separuh akhir dengan kemenangan 21-15.
Berdasarkan statistik, ia merupakan kemenangan keempat diraih Zii Jia pada sembilan pertemua sesama mereka di pentas antarabangsa.
Pertemuan kali terakhir melibatkan kedua-dua pemain di Malaysia Masters 2024 juga turut memihak bintang tanah air itu.
Kemenangan penting dilakarkan itu menyaksikan pemain ranking ketujuh dunia itu akan berdepan wakil Thailand, Kunlavut Vitidsard yang melakar kejutan ke atas pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yuqi 21-12, 21-10.
Sementara itu, Lakshya Sen mara ke separuh akhir selepas berjaya menundukkan pemain dari Chinese Taipei, Chou Tien Chen manakala Loh Kean Yew pula akan berhadapan dengan juara bertahan, Viktor Axelsen.