Sukan Olimpik 2024 baharu sahaja dirasmikan pada awal pagi tadi dengan upacara pembukaan unik yang telah diadakan di Sungai Seine, Paris.
Namun, selain acara unik yang diadakan itu sudah ada kisah kurang enak mengenai keadaan di ibu kota Perancis itu.
Baca Juga:
- Jadual Penuh Aksi Atlet Malaysia Di Sukan Olimpik Paris 2024
- Netizen Anggap Pembukaan Sukan Olimpik 2024 Teruk Dan Membosankan
- Malaysia Diwakili 10 Orang Bagi Acara Perasmian Sukan Olimpik 2024
Hal ini kerana legenda Brazil, Zico telah menjadi mangsa rompakan di Paris yang menyaksikan beliau telah kehilangan barangan yang dilaporkan bernilai £420,000.
Insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu jelas menjejaskan imej Perancis selaku penganjur temasya paling berprestij di dunia tersebut.
Menurut sumber laporan Goal, legenda bola sepak dunia berusia 71 tahun itu berada dalam teksi dan telah didekati oleh seseorang bagi mengalihkan perhatiannya.
Sementara itu, datang seorang lagi rakannya melakukan kerja terkutuk tersebut lalu mencuri barangan milik Zico.
Difahamkan pada ketika itu, Zico membawa sebuah beg pakaian yang mengandungi jam tangan Rolex, rantai berlian dan wang tunai bernilai $2,200 serta $2,000 yang telah dicuri daripadanya.
Legenda itu dilaporkan telah membuat aduan kepada Pejabat Pendakwa Raya Paris dan siasatan untuk mencari pelaku perkara tersebut telah dibuka.
Zico berada di kota Paris selepas dijemput untuk menjadi sebahagian daripada delegasi Brazil bagi menghadapi Sukan Olimpik 2024.
Tambah laporan Goal lagi, Zico berharap pihak Polis Paris dapat mencari suspek tersebut serta memulangkan barang yang dicuri. Sementara itu, bekas bintang Flamengo itu akan cuba melupakan insiden tersebut dan menikmati temasya di sana.