Syed Saddiq, ahli politik muda yang juga pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), telah berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan 113 Triathlon Desaru 2024, bagaimanapun beliau dituduh menipu.
Syed Saddiq dalam satu hantaran di media sosial menyatakan, “Podium pertama saya. Dapat tempat ke-3. 131km keseluruhannya. Berenang, 2.25km, berbasikal 90km, berlari 21.1km = 5jam & 44minit. Muntah dua kali tetapi lebih baik selepas itu. Masa untuk berehat.”
Namun, pencapaian ini tidak terlepas dari kontroversi apabila beberapa netizen mempertikaikan keputusan tersebut dan menuduh Syed Saddiq menipu kerana tidak melengkapkan jarak perlumbaan sepenuhnya.
Salah seorang peserta yang turut serta dalam pertandingan tersebut mempersoalkan bagaimana Syed Saddiq boleh memenangi tempat ke-3 sedangkan beliau tidak melihat Saddiq memotongnya dalam acara berbasikal.
“Saya perasan awak berada di belakang saya semasa berenang. Dan awak tak pernah memotong saya semasa berbasikal, tetapi semasa larian, awak dah ada di hadapan saya. Macam mana boleh jadi begitu?” katanya.
Peserta tersebut juga membandingkan masa Saddiq dalam perlumbaan IRONMAN Desaru dua bulan lalu, di mana beliau mencatat masa 3 jam 31 minit untuk acara berbasikal.
Dalam pertandingan 113 Triathlon Desaru 2024, Saddiq dikatakan mencatat masa 2 jam 37 minit untuk jarak yang sama, iaitu 90km. “Pelumba terpantas dari Sepanyol pun catat masa 2 jam 31 minit. Awak memang betul-betul laju?” tambahnya.
Pelbagai reaksi muncul di media sosial, termasuk dari kalangan komuniti triathlon dan multisport yang mendakwa hasil keputusan Saddiq tidak masuk akal.
“Komuniti tri ironman dan multisport bukannya besar sangat dan kami bukan la bodoh bila tengok result tak masuk akal,” kata seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen meminta Saddiq berkongsi teknik bagaimana beliau mampu meningkatkan purata kelajuan dari semasa Ironman Desaru dan Desaru 113. “Tunjuk la sikit. Jgn la lokek ilmu ngan cikgu kamu,” katanya dengan nada sinis.
Dengan pelbagai tuduhan dan spekulasi yang timbul, ramai yang mendesak pihak penganjur Desaru 113 dan badan pengelola Malaysia Triathlon untuk membuat siasatan dan pengesahan terhadap keputusan pertandingan tersebut.
Mereka berpendapat ini mungkin merupakan skandal dalam perlumbaan triathlon di Malaysia.
Penjelasan Syed Saddiq
Syed Saddiq tidak berdiam diri. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di media sosial, beliau menafikan semua tuduhan dan memberi penjelasan terperinci mengenai isu yang dibangkitkan.
Beliau menegaskan bahawa sepanjang pertandingan, beliau memakai peranti yang merekodkan masa dan telah melalui semua checkpoint yang ditetapkan.
Beliau juga menjelaskan bahawa masa yang lebih cepat dalam pertandingan baru-baru ini adalah hasil daripada persiapan yang lebih baik dan keadaan fizikal yang lebih baik berbanding dua bulan lalu.
Menurutnya, dua bulan lalu beliau hanya tidur selama empat jam sebelum pertandingan dan mengalami masalah kesihatan yang serius.
“Saya hanya menyertai triathlon untuk kesihatan mental dan peningkatan diri. Ia bukan tentang pingat atau trofi. Dari menjadi seseorang yang baru dalam komuniti ini, hingga memenangi pertandingan jarak setengah 113 kilometer, ia benar-benar satu perjalanan yang mengubah hidup saya,” kata Saddiq.
Kontroversi ini masih jauh daripada selesai. Penganjur dan badan pengurusan triathlon Malaysia perlu mengambil langkah proaktif untuk menyiasat dakwaan ini dan memastikan keadilan bagi semua peserta.