Pada malam semalam tular beberapa gambar sebuah jambatan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Projek 275kV, Bayan Lepas runtuh.

Memetik Harian Metro, insiden itu berlaku akibat struktur binaan yang tidak dapat menampung berat kabel 275kV.

Baca Juga:

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kejadian berlaku di Cable Bridge nombor satu di kawasan syarikat Motorola, sebahagian daripada projek yang menghala ke syarikat Intel di sini, semalam.

“Pihak projek grid TNB telah memaklumkan kepada Intel mengenai masalah ini. Projek ini dijangka memulakan tugas semula pada akhir November 2024,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menerusi kemas kini TNB, pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk membaiki jambatan kabel tersebut dan tiada gangguan bekalan berlaku memandangkan ia adalah projek baharu yang belum dimulatugas.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden ini.

“Kerja-kerja memperkukuh jambatan kabel sedang giat dijalankan, termasuk penambahan cerucuk di bahagian tengah bagi meningkatkan kekuatan struktur. TNB juga memberi jaminan bahawa projek ini akan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca runtuhan dan merangka pelan mitigasi bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan,” kata TNB.

Sementara pihak Intel telah dimaklumkan mengenai situasi tersebut. Pada masa sama TNB memberi jaminan bahawa insiden ini tidak menjejaskan projek-projek lain di Pulau Pinang.

Sumber