Pada hari semalam TikTok Awards Malaysia 2024 menobatkan Abdul Qayyum, atau lebih dikenali sebagai Che Sayang sebagai ‘Creator of The Year’.
Sementara juara anugerah yang sama pada tahun lalu, Khairul Aming pula menggalas tanggungjawab sebagai juri untuk acara penuh berprestij kali ini.
Semasa acara berlangsung, Khairul Aming tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pesanan kepada orang ramai untuk menjadi seorang content creator yang berkualiti.
Fullspeech Khairulaming masa Tiktok Awards 2024 pic.twitter.com/MR4ljD0TRl
— フィルダウス (@frdausyasin) August 11, 2024
“Jika hari ini kita pergi ke sekolah dan kita tanya satu soalan kepada adik-adik — apa adik nak jadi bila dah besar nanti? — majoritinya yang akan menjawab — saya nak jadi seorang content creator. Sebenarnya tiada masalah jadi content creator, sebab banyak impak positif yang kita boleh bagi kepada masyarakat.
“Tapi dalam masa yang sama kita juga boleh bagi pengaruh yang kurang baik. Kalau kita buat konten tanpa rasa tanggungjawab. Sebagai contoh, demi mengejar view dan juga engagement ada sewenangnya melontarkan perkataan seperti —pendidikan itu tidak penting ataupun bad marketing its good marketing; atau tak apalah orang kecam asalkan kita kaya,” kata Khairul Aming.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah meracuni pemikiran anak muda di luar sana.
“Sebab itulah hari ini saya nak ajak kesemua content creator bukan sekadar yang ada dalam dewan ini, tapi seluruh Malaysia untuk sama-sama kita tambahkan nilai positif dalam konten yang kita hasilkan di media sosial, dengan harapan dia akan jadi ikutan anak-anak muda di luar sana.
“Hari ini TikTok ingin mengiktiraf dua peserta content creator yang telah bagi impak yang sangat besar kepada masyarakat. Konten yang mereka hasilkan bukan sekadar menjadi inspirasi di media sosial tapi turut jadi ikutan oleh masyarakat sekeliling,” ucap Khairul Aming semasa TikTok Awards 2024.
Selain Che Sayang, antara beberapa pemenang lain yang dinobatkan pada malam semalam adalah; LoKohoPunoh Group dan BraderWheelchair (Changemaker Of The Year), Bella Astillah (Celebrity Of The Year) dan Agy (Video Of The Year).