Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria dilaporkan mahu melepaskan jawatan beliau dalam persatuan itu dalam jangka masa terdekat.
Menurut laporan Sinar Harian, keputusan ini diambil ekoran kontrovesi yang melibatkan keluarganya pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Baca Juga:
- Isu Kuota Khas Ke Paris, Norza Kesal Keluarga Dikecam
- MOM Pertahankan Norza Tak Pakai Duit Kerajaan Untuk Bawa Keluarga Ke Paris
- Norza Zakaria: Saya Ada Kuota Khas Bawa Tetamu Ke Paris
“Melihat pelbagai reaksi ketika ini, perasaan saya menyatakan perlu meletakkan jawatan daripada BAM. Saya berharap pemimpin seterusnya dapat memperbaiki keadaan badminton negara kita,” katanya.
Sebelum ini, Tan Sri Norza merasa kecewa kerana keluarganya mendapat kecaman selepas isu kuota khas yang diberikan kepada beliau.
Norza menegaskan beliau bekerja secara percuma dan tidak mendapat bayaran dari dua persatuan yang dipimpinnya kerana mahu membawa kecemerlangan buat negara.
“Saya tidak menerima sebarang gaji daripada kedua-dua pertubuhan mahupun elaun. Saya ingin membantu membawa kecemerlangan dan kebanggaan kepada negara kita.
“Serangan terhadap keluarga saya ini sama sekali tidak perlu dan keluarga saya tidak perlu melalui sorotan sedemikian,” katanya menurut laporan MalaysiaKini.
Menurut Norza, dia mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu sendiri bagi menonton acara dalam temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris. Menurut beliau, kuota yang diberikan kepada beliau tiada kena mengena dengan atlet atau pegawai pasukan yang mewakili negara.
“Sebagai presiden BAM dan MOM saya diberikan peruntukan untuk bawa tetamu sendiri. Saya ada kuota khas, tidak kena-mengena dengan atlet,” katanya.
MOM kemudiannya tampil mempertahankan presidennya dengan mengatakan menggunakan wangnya sendiri untuk membiayai perbelanjaan keluarganya ke Paris. Begitu juga dengan semua perbelanjaan sepanjang berada di Paris juga menggunakan wang peribadi Norza, kata MOM.
Ahli keluarga Norza hanya dibantu untuk memudahkan akses mereka ke arena atau venue pertandingan oleh MOM dan IOC sendiri.
Apa yang pasti MOM memberikan jaminan tiada duit kerajaan atau wang hasil cukai rakyat digunakan oleh Norza.