Seorang petani durian berusia 45 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Raub semalam atas tuduhan mencuri cip kasino Genting Highlands bernilai RM4.6 juta dari bilik kasino di Genting tahun lalu.
Lee Kian Keong, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan kepadanya melalui jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad, lapor Sinar Harian.

Menurut kertas pertuduhan, Lee bersama tiga lagi individu didakwa memecah masuk dan mencuri 1,160 cip bernilai RM4,607,800 milik Genting Highlands Berhad di bilik Twilight 3, Sky Casino Genting Highlands pada jam 7.12 pagi, 28 Oktober 2023.
Tuduhan ini difailkan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid meminta ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, sementara peguam Lee, Dinesh Muthal, memohon mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin yang lebih rendah kerana pendapatan Lee yang tidak tetap sebagai penjual durian dan tanggungjawabnya menjaga ibu yang uzur.
Mahkamah akhirnya menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan kes.
Pada hari kejadian rompakan, seorang penolong pengurus yang bertugas menemui dua lelaki yang dikenali sedang mencuri cip kasino dari dua meja permainan ketika meneliti rakaman CCTV.
Laporan polis kemudiannya dibuat dan operasi besar-besaran dilancarkan untuk memburu suspek yang bertanggungjawab dalam rompakan tersebut.