Betul ke ada tekak Cina dan tekak Melayu yang membezakan penerimaan seseorang terhadap sesuatui makanan.
Baru baru ini, seorang influencer yang mendakwa dia sudah membuat ulasan makanan sejak 2011 telah tampil dengan pandangan bahawa: “Jika orang Cina reviu masakan Melayu memang tak kena.”

Orang Cina ‘Review’ Masakan Melayu Memang Tak Kena, Kata Influencer Ini
Ini kerana menurutnya tekak orang Cina dan tekak orang Melayu itu sendiri berbeza.
Ianya seperti satu kenyataan sokongan kepada seorang lagi influencer yang mengecam tindakan seorang pengulas makanan berbangsa Cina.
Menurut influencer yang mendakwa dirinya CEO itu, reviu terlalu jujur boleh menjatuhkan perniagaan orang lain. Dan dia juga mengingatkan bahawa setiap orang tekak tak sama.
KKM tampil jelaskan tentang tekak Cina, tekak Melayu
Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM tampil dengan penjelasan tersendiri. Menurut mereka, sebenarnya tiada beza tekak Cina atau Melayu.
Yang membezakannya adalah kebiasaan atau tabiat pemakanan seseorang. Jika seseorang itu sudah terbiasa dengan makanan Melayu, dia tetap akan lebih cenderung menikmati masakan Melayu walaupun dia bukan berbangsa Melayu.
Jadi tak kira dia tekak Cina atau Melayu, jika dia sudah terbiasa atau cenderung dengan cara sesuatu makanan itu disediakan, dia akan menerimanya.
Sebab itu anda akan lihat seorang rakan anda berbangsa India boleh makan ulaman cara Melayu. Dan orang Melayu boleh makan kari orang India dan orang Cina boleh makan asam pedas dengan bersselera.
Seterusnya ia berkaitan dengan pemikiran seseorang selepas melatih diri mereka untuk menikmati sesuatu makanan bukannya sebab tekak Cina, Melayu atau India.
Misalnya, jika dulu seseorang itu tak suka sayur, sekarang dia suka pula. Kerana selera seseorang itu tidak kekal menurut KKM.
KKM menulis: “Aku hirup baunya. Aku mula dengan bismillah. Jangan kata aku tak kongsi. Emmm… layan. Padu betul!
“Ada yang kata menikmati makanan itu cukup sekadar merasa di lidah. Kalau sedap, makan saja. Tak perlu persoalkan keseimbangan rasa, tekstur, atau bagaimana ia berfungsi dalam tekak. Tapi betulkah begitu, atau kita sekadar terbiasa dengan apa yang kita suka tanpa benar-benar memahami bagaimana tekak kita bekerja?
“Setiap kali kita makan, lidah mengesan lima rasa utama. Manis, masin, masam, pahit, dan umami. Isyarat dihantar ke otak, mencipta memori rasa yang menentukan sama ada kita suka atau tidak sesuatu makanan.
“Hidung pula melengkapkan rasa itu. Sebab itu bila selsema, makanan terasa hambar. Tekstur juga memainkan peranan besar. Ada makanan yang terasa enak kerana gabungan rangup dan lembut, ada yang tidak kena kerana teksturnya yang janggal.
“Tapi apa yang lebih menarik, selera bukan sesuatu yang kekal. Dulu tak suka sayur, sekarang boleh makan. Dulu tak tahan pedas, lama-lama jadi ketagih. Otak belajar dari pengalaman, bukan sekadar genetik.

“Jadi bila ada yang kata tekak seseorang tak sesuai untuk sesuatu makanan, adakah itu biologi atau sekadar kebiasaan?
“Kalau kita boleh belajar menerima kopi tanpa gula, kimchi, atau sushi mentah, kenapa tidak budu, petai, atau lemak cili api?
“Tekak boleh dilatih. Selera boleh berubah. Begitu juga dengan cara kita menjaga kesihatan. Ramai yang rasa air kosong hambar pada mulanya, tapi bila mula mengurangkan gula, baru perasan betapa segarnya air tanpa perisa tambahan.
“Sama juga dengan makanan sihat. Apa yang dulu terasa membosankan, akhirnya jadi kegemaran bila kita biasakan.
“Kadang-kadang, bukan tekak yang tak boleh menerima. Cuma kita yang belum membiasakan diri.”
Diharap penjelasan KKM ini akan dapat membantu anda semua dalam mencari jawapan, betul ke tekak Cina dan tekak Melayu tak sama?t