Leong Jun Hao meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2024 yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.
Sekiranya semalam Jonathan Christie berjaya dijinakkannya, hari ini giliran Chou Tien Chen pula menjadi mangsa kepada pemain berusia 24 tahun itu.

Baca Juga:
- Terbuka Indonesia 2024: Man Wei Chong-Tee Kai Wun Kejutkan Juara Dunia
- Terbuka Singapura 2024: Kejutkan Ginting, Jun Hao Ke Suku Akhir
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
Lebih manis, ia merupakan penampilan sulungnya dalam pertandingan berstatus Super 1000 dalam kalendar Persekutuan Badminton Duniua (BWF) itu.
Permainan jaring yang cukup tenang, kekentalan ketika bertahan serta smash kencang dijelmakan jelas menjadi senjata ampuh buat Jun Hao untuk mengecewakan pemain ranking ke-11 dunia itu.
Segalanya tampak berada di landasan terbaik buat Jun Hao selepas beliau berjaya mencuri set pertama dengan kemenangan 21-18.
Namun, Tien Chen tidak menyerah dengan mudah untuk menang set kedua 21-13 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga menyaksikan Jun Hao kembali di prestasi terbaiknya dimana beliau jauh meninggalkan lawan pada kedudukan 14-7.
Kebangkitan cuba ditampilkan Tien Chen dengan mengejar hingga kedudukan 13-15 diserap dengan cukup baik Jun Hao bagi memastikan kemaraannnya ke suku akhir dengan kemenangan 21-17.
Menanti beliau di suku akhir esok ialah wakil dari China, Li Shi Feng yang menundukkan pemain Perancis, Christo Popov 21-11, 21-13.
Sementara itu, hasrat untuk melihat Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut meneruskan kemaraan tidak kesampaian selepas pasangan nombor satu negara itu tewas kepada gandingan Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 14-21.
Lima lagi wakil negara akan beraksi sebentar lagi menerusi Lee Zii Jia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzudin, Pearly Tan-M. Thinaah dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.