Jika anda suka filem seperti Snowpiercer, Elysium dan Mad Max, The Platform adalah filem yang anda perlu tonton di Netflix ketika ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan minggu lalu, filem The Platform ini secara tiba-tiba menjadi perhatian penduduk di Malaysia. Lebih menarik, filem ini sedang berada di tangga No.1 filem paling banyak ditonton oleh rakyat Malaysia.

Setelah membaca review yang dikongsikan oleh warga Twitter dan Facebook, saya terus berminat untuk menonton filem ini. Selepas menontonnya hingga tamat, saya faham mengapa filem ini tiba-tiba menjadi popular dan boleh relate dengan PKP yang sedang dijalani penduduk di Malaysia ketika ini.

Ini serba sedikit sinopsis filem The Platform. Filem ini mengisahkan sebuah ‘penjara’ yang mempunyai ratusan tingkat dan pada setiap level atau sel, terdapat hanya dua orang sahaja dengan kemudahan asas. Mereka cuma diberi makan sehari sekali dan makanan tersebut disediakan di atas platform yang bergerak dari tingkat ke tingkat. Agihan makanan yang tidak adil inilah yang menjadi isu utama dalam filem ini.

The Platform merupakan filem untuk tontonan 18 tahun ke atas sahaja tetapi rasanya tidak semua dapat menerima filem ini yang mungkin agak gore serta tidak berperikemanusiaan. Tetapi itulah ‘mesej sebenar’ yang ingin disampaikan oleh pengarah filem ini, Galder Gaztelu-Urrutia.

The Platform adalah sebuah filem yang sarat dengan kritikan sosial terhadap masyarakat pada ketika ini. Hierarki kehidupan di dunia sebenar digambarkan mengikut level dalam filem ini; siapa di atas adalah insan yang bertuah/kaya dan di bawah adalah kurang bernasib baik/miskin.

Sesiapa yang tinggal di tingkat teratas bertuah kerana dapat ‘makan dahulu’. Mereka juga berpeluang untuk makan apa sahaja yang terhidang sepuas-puasnya di atas meja dalam masa yang ditetapkan. Sebenarnya, makanan yang terhidang di atas meja sebenarnya cukup untuk semua (sehingga ke level paling bawah) tetapi disebabkan ada yang tamak dan mengambil ‘hak orang lain’, maka mereka yang ada di bawah tidak dapat makan.

https://twitter.com/PhilstarMovies/status/1243440616123420673

Mengapa mereka bersikap begini? Kerana setiap bulan, setiap yang berada di ‘penjara’ berkenaan akan dialihkan ke level berlainan; tanpa mereka tahu siapa cellmate mereka akan datang dan level berapa mereka akan tinggal. Nasib baik mereka akan ditempatkan di level teratas, nasib tidak baik mereka akan tinggal di level bawah.

Individu di tingkat bawah biasanya akan bunuh diri terus kerana merasakan tiada lagi peluang untuk hidup kerana apabila platform tiba ke tingkat bawah, biasanya makanan sudah sudah habis dimakan oleh ‘orang atasan’. Untuk kelangsungan hidup, ada yang sanggup bunuh rakan sebilik dan menjadi kanibal demi meneruskan hidup di dalam penjara ini.

Keunikan filem ini juga boleh dilihat pada setiap watak yang muncul dalam The Platform. Watak utamanya, Goreng (ya nama beliau goreng) merupakan seorang yang bijak tetapi naif dan terlalu lurus. Trimagasi pula adalah seorang yang berpengalaman yang sanggup buat apa sahaja untuk hidup dan keluar dari penjara tersebut. Baharat pula adalah individu yang mahu mengubah sistem kejam The Platform tetapi tidak mendapat sokongan daripada ‘orang atasan’.

Setiap watak yang ada dalam filem The Platform ini adalah cerminan individu sebenar yang wujud di dunia sebenar. Ada yang memikirkan tentang orang di bawah, ada yang hanya fikirkan tentang diri mereka sendiri dan ada yang mementingkan keluarga berbanding diri mereka sendiri.

Individu yang masuk ke penjara ini pula dibenarkan untuk membawa satu item yang paling mereka sayangi/perlukan untuk bersama mereka sepanjang berada di sana. Jadi, anda boleh lihat kepelbagaiaan barangan peribadi yang dibawa oleh setiap individu. Tetapi anda akan ‘diperli’ jika bawa buku masuk ke dalam. Mengapa? Itu anda tonton sendiri.

Satira serta simbolik yang diketengahkan dalam filem The Platform ini sangat boleh di relate dengan keadaan kita sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perangai mereka yang memborong roti Gardenia, topeng muka dan sanitizer tidak ubah seperti orang atasan dalam The Platform yang langsung tidak mempedulikan orang yang berada di bawah.

Cuma penamatnya akan buatkan anda kata “Habis macam itu sahaja?”. Si pengarah sengaja membiarkan penonton berfikir apa simbolik ‘banduan di level terakhir’ di dunia sebenar. Pada pemahaman saya, banduan terakhir adalah golongan muda yang masih ‘tidak tercemar’ dengan politik kotor yang wujud dalam sesebuah negara. Jadi, golongan inilah yang akan mencorak masa hadapan dengan pemikiran ‘fresh’ mereka.

Selepas anda menonton filem ini, ada sebenarnya bebas untuk menafsirkan setiap persoalan yang wujud di dalamnya. Sekurang-kurangnya secara tidak langsung, anda ada sesuatu untuk difikrkan jika bosan terkurung di rumah.

Diingatkan filem ini adalah untuk tontonan 18 tahun ke atas sahaja dan anda perlu ‘bijak’ untuk menontonnya. Jika tidak, anda akan rasa The Platform adalah sebuah filem yang bosan.

P/S: Anda pasti akan bersyukur kerana sepanjang menjalani PKP ini, anda masih boleh keluar untuk membeli makanan dan ada kemudahan internet untuk berhubung dengan dunia luar. Jika anda berada di dalam penjara ini, tidur pun lena. Kenyang ikut nasib badan.

Kerajaan sebentar tadi telah mengumumkan akan menawarkan internet percuma buat rakyat Malaysia bermula 1 April 2020. Baca tentangnya lagi pada pautan di bawah.

Kerajaan Umum Penawaran Internet Percuma Bermula 1 April 2020

Empat Bantuan Prihatin Nasional Secara ‘One-Off’ Yang Anda Perlu Tahu

Netflix Party Bolehkan Anda Dan Rakan Tonton Rancangan Yang Sama Secara Berasingan