Pada hari semalam tular gambar dikongsikan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) tentang keadaan semasa padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas digunakan untuk konsert Coldplay baru-baru ini.
Gambar itu telah meraih perhatian ramai, terutamanya peminat bola sepak tempatan kerana padang SNBJ baru sahaja melalui transformasi besar-besaran dimana rumput Zeon Zoysia digunakan bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.
Baca Juga:
- Kerja Baik Pulih Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Telah Bermula
- TMJ Kongsi Keadaan Padang SNBJ Selepas Konsert Coldplay
Kebimbangan orang ramai terjawab, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata rawatan dan pembaikan terhadap permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak tidak membabitkan kos atau peruntukkan bagi menjamin kualiti padang berkenaan menjelang final Piala Malaysia 8 Disember depan, petik Harian Metro.
Menurut Hannah, terdapat tapak semaian berdekatan stadium berkenaan yang mempunyai rumput jenis Zeon Zoysia dan boleh terus digantikan jika permukaan padang rosak.
“Jadi bila ada rawatan dan pembaikan (terhadap permukaan padang) ia tak melibatkan kos kerana tapak semaian itu wujud.
“Sehubungan itu, jangan risau, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan kontraktor sedang melakukan rawatan dan akan memastikan padang sudah tersedia untuk perlawanan kelak,” katanya kepada pemberita pada Programme for Train-the-Trainee for Clinical Directors and Helathy Athletes di sini hari ini.
Sementara itu, pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Datuk Hans Isaac ada berkongsi sekeping foto di laman instagram miliknya — Nurseri Perbadanan Stadium Bukit Jalil — satu kawasan rumput simpanan Zeon Zoysia sebagai persediaan awal seandainya rumput di SNBJ memerlukan gantian segera.
Terdahulu, seramai lebih 80,000 peminat muzik membanjiri SNBJ menyaksikan konsert Coldplay. Difahamkan jumlah pengunjung konsert itu telah memecah rekod 19 tahun yang dipegang oleh konsert Datuk Siti Nurhaliza.