Seorang pemenang loteri di India, Anoop akui menyesal setelah berjaya memenangi wang sebanyak 250 juta rupee atau sekitar RM14 juta pada pertengahan September lalu selepas ramai yang bertandang ke rumahnya untuk meminjam duit dan ada yang mengaku sebagai saudara.
Melalui laporan yang dikeluarkan oleh First Post, dia yang bekerja sebagai seorang pemandu di Kerala, selatan India, memenangi wang tunai sebanyak itu melalui loteri yang dianjurkan oleh kerajaan tempatan. Selepas menang, dia memuat naik video dan meminta orang yang tidak dikenali supaya tidak mengganggu dia dan keluarganya.
Baca Juga:
- Lelaki Johor Jadi Jutawan Segera, Menang ‘Cabutan Bertuah’ Sebanyak RM32 Juta
- Kisah Ahmad Samerin, ‘Owner’ Kedai Basikal Yang Berjaya Memenangi RM1 Juta Pada Tahun 1991
“Saya rasa lebih baik tidak menang,” katanya. “Mungkin tempat ketiga lebih baik,” tambah Anoop dalam video itu. Dia turut memberitahu bahawa dia mempunyai perancangan untuk berpindah rumah bagi mengelak perhatian orang ramai.
Menurut laporan media, Anoop membeli tiket loteri dengan menggunakan wang simpanan anaknya pada 17 September, sehari sebelum dia terbang ke Malaysia untuk bekerja. Selepas berita kemenangannya diketahui oleh media, keluarganya menjadi tumpuan.
“Saya sangat gembira apabila saya menang,” katanya dalam video baru-baru ini. “Ramai orang datang dengan kamera di hadapan rumah, dan kami berseronok,” katanya. Tetapi keadaan menjadi tidak terkawal. “Saya tidak boleh keluar rumah, saya tidak boleh pergi ke mana-mana. Anak saya sakit dan saya tidak boleh membawanya ke doktor,” kata Anoop.