Pasukan Terengganu FC mengumumkan mereka berpisah dengan ketua jurulatih, Tomislav Steinbrückner ekoran prestasi yang tidak menentu dalam saingan Liga Super musim ini.

Pihak kelab membuat pengumuman dimana mereka telah mencapai kata sepakat dengan Tomislav untuk pengendali itu melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan.

Baca Juga:

“Kelab Terengganu FC telah mengadakan satu perbincangan bersama pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner dan telah mencapai satu persetujuan bersama untuk melepaskan jawatan beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan Terengganu FC musim ini.

“Turut mengikuti bersama proses ini adalah 2 orang staf di barisan kejurulatihan iaitu Ivica Vranješ (Penolong Jurulatih) dan Hrvoje Bradasic ( Jurulatih Kecergasan).

“Langkah ini diambil dan diputuskan bersama atas dasar melihatkan prestasi semasa pasukan serta dalam usaha kelab untuk memelihara keadaan dan perhubungan diantara para pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya.

“Bermula pada hari ini, tugasan untuk mengendalikan pasukan utama ini akan digalas oleh Penolong Ketua Jurulatih, Badrul Afzan Razali dan Hairudin Omar buat sementara waktu. Tomislav menyatakan beliau bersetuju atas dasar sepertimana yang telah dinyatakan dan berharap kelab ini mampu terus bergerak dengan baik dan lebih berjaya pada masa-masa yang akan datang,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Terengganu gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan yang dihadapi sebelum ini dimana keputusan seri menentang Sabah menjadi kemuncak kepada rasa tidak puas hati penyokong ekoran prestasi hambar pasukan.

Kali terakhir Terengganu mencatat kemenangan ialah ketika menewaskan Kuala Lumpur City dalam saingan Liga Super pada bulan Ogos lalu.

TFC kini menduduki tangga ketiga dalam carta liga dimana mereka mengutip 16 mata, 9 mata dibelakang Selangor yang berada di tangga kedua dan 15 mata dibelakang pendahulu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).