Kumpulan penyokong terkemuka negara, Ultras Malaya mengambil keputusan untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung pada 4 hingga 8 September ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu di laman media sosial, mereka tidak akan membuka curva di dalam stadium sebagai tanda boikot terhadap kejohanan itu.
Baca Juga:
- Salah Satu Ultras Boikot Kejohanan Pestabola Merdeka 2024
- Datuk Hamidin Beri Sebab Mengapa ‘Capo’ Ultras Malaya Turun Naik Pejabat FAM
- Pestabola Merdeka 2024: Tiga Pasukan Asia Sahkan Penyertaan
Meskipun tidak menulis sebab mengapa mereka memboikot, ramai yang beranggapan tindakan itu diambil oleh Ultras Malaya kerana mereka tidak berpuas hati dengan situasi semasa bola sepak negara baik di peringkat kelab mahupun negara.
Sebelum ini, salah satu ultras yang menyokong pasukan Penang FC iaitu Ultras Panther mengambil langkah sama dimana mereka memberikan beberapa sebab mengapa kumpulan itu tidak akan hadir bagi menyaksikan Pestabola Merdeka edisi kali ini.
“Setelah perbincangan dilakukan dan maka dengan seteguh semangat dan sebulat kata, Ultras Panther tidak akan turun untuk semua perlawanan di Pestabola Merdeka 2024. FAM dan MFL gagal!
“Isu perletakan jawatan coach KPG yang sangat kontroversi dan jawapan dari FAM penuh sandiwara.
“Keadaan pengurusan Liga Malaysia yang makin merapu dari MFL serta beberapa keputusan dari MFL dan FAM berkait isu-isu semasa baru-baru ini yang menimbulkan banyak keraguan dan tiada penjelasan.
“Kegagalan FAM dalam mengatur perlawanan persahabatan yang diminta KPG sebelum Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini membawa kepada kegagalan layak ke pusingan ketiga.
“FAM tidak mengambil serius isu surat layang berkaitan kebobrokan peringkat dalaman FAM dan tiada empati atas kejadian yang menimpa pemain kebangsaan terutama kes Faisal Halim,” dipetik dari kenyataan di laman X.
Kejohanan edisi kali ini akan disertai oleh empat pasukan iaitu Malaysia, Filipina, Lebanon dan juara bertahan iaitu Tajikistan.
Malaysia akan bertemu Filipina pada 4 September manakala satu lagi perlawanan akan melibatkan Lebanon bertemu Tajikistan.
Pemenang akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 8 September . Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.